SHAH ALAM - Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan menyambut baik saranan kerajaan mewajibkan tukang gunting warga asing di negara ini untuk menjalani ujian calitan (swab test) koronavirus (Covid-19) sebelum dibenarkan bekerja.
Timbalan Presidennya, Akilan Anandakrishnan berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua 200 ahli di bawah persatuan untuk mengambil perhatian mengenai arahan tersebut kerana hampir 60 peratus tukang gunting rambut yang digaji terdiri daripada warga asing.
Beliau berkata, rata-rata ahli persatuannya sudah menghantar tukang gunting warga asing mereka untuk menjalani ujian swab tersebut bermula semalam.
"Kita ikut segala arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kesemua tukang gunting warga asing yang sudah selesai jalani ujian dan memperoleh keputusan negatif, kita sudah arahkan untuk mereka mempamerkan surat pengesahan klinik atau hospital bagi memudahkan pelanggan.
"Jadi pelanggan tidak perlu bertanya lagi dan boleh memeriksa terus surat pengesahan dipamerkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, apabila kerajaan membenarkan pembukaan semula kedai gunting rambut antara SOP yang ditetapkan termasuklah memastikan tukang gunting rambut warga asing melakukan ujian swab Covid-19 disertai keputusan negatif.
Tegasnya, pelanggan juga berhak meminta bukti pekerja asing di premis gunting rambut itu bebas jangkitan Covid-19.
Dalam pada itu, Akilan berkata, operasi kesemua kedai gunting rambut di bawah persatuannya masih berjalan seperti biasa, namun pelanggan yang datang dinasihatkan untuk membuat temu janji terlebih dahulu mengikut salah satu SOP ditetapkan kerajaan.
Selain itu, katanya, bagi pelanggan warga emas berusia 60 tahun ke atas, mereka hanya boleh datang ke premis gunting rambut bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi dan dalam tempoh itu pelanggan lain tidak dibenarkan.
"Jika mereka datang selepas waktu itu, kami terpaksa tolak kerana perlu memberi perkhidmatan kepada pelanggan yang bukan warga emas pula.
"Ramai yang masih tidak dapat maklumat ini dan mereka pula datang dari jauh. Harap pelanggan warga emas ambil perhatian agar tidak menyusahkan mereka,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca