SHAH ALAM - Parti Warisan Sabah (Warisan) kini dilihat berada dalam keadaan tertekan apabila ada pihak cuba melobi wakil rakyat mereka untuk melompat parti.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, pemimpin Warisan seharusnya risau dengan apa yang berlaku ketika ini memandangkan budaya lompat parti cukup sinonim dengan politik Sabah.
Menurutnya, jika dilihat Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berusaha keras untuk menyelamatkan Warisan sebagai parti pemerintah di Sabah apabila membuat kenyataan dan menempelak kenyataan provokasi terutamanya daripada UMNO Sabah berhubung isu tersebut.
"Beliau (Mohd Shafie) juga dikatakan menjadi individu penting membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad ke meja rundingan agar Pakatan Harapan Plus dan Warisan kembali membentuk kerajaan pusat sekali gus membolehkan Warisan kekal selamat di Sabah.
Katanya, walaupun Warisan masih kuat di Sabah, namun mereka juga risau jika bekas wakil rakyat UMNO kembali semula bersama parti itu dan Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini menguasai Putrajaya.
"Selain itu, kemunculan semula Tan Sri Musa Aman yang kini dibebaskan daripada pertuduhan rasuah di mahkamah dan berkemungkinan akan kembali aktif dalam politik juga harus difikirkan pemimpin Warisan.
"Musa dilihat mampu menyaingi pengaruh Mohd Shafie selaku Ketua Menteri Sabah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Dalam pada itu, Mujibu berpendapat PN mampu memimpin Sabah jika kesemua bekas wakil rakyat UMNO yang sebelum ini lompat parti untuk bersama PH (sertai Bersatu, Warisan dan PKR) kembali bersama mereka.
Menurutnya, andainya usaha itu tidak dapat dilakukan maka Warisan akan kekal memerintah Sabah sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
"Kalau formula ini tidak berlaku, sukar untuk PN mengambil alih Sabah seperti yang berlaku di Johor, Melaka dan Kedah. Ini kerana kedudukan kerusi pembangkang di Sabah tidak sama dengan kedudukan seperti di tiga negeri terbabit.
"Sabah mempunyai 65 kerusi DUN secara keseluruhan. Ini termasuk lima ADUN yang dilantik membabitkan 33 kerusi Warisan, 15 PH dan 17 daripada PN,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berpendapat sudah sampai masanya kerajaan menggubal satu akta khusus bagi menangani senario ahli politik ‘melompat parti’ yang sering berlaku di negara ini.
Menurutnya, kadangkala tingkah laku wakil rakyat yang bertukar parti ini dibuat semata-mata untuk menyebabkan sesuatu pentadbiran itu bertukar daripada satu pihak kepada pihak yang lain.
"Situasi ini banyak berlaku di negara-negara Barat di mana apabila perjuangan ataupun ideologi sesebuah parti itu dirasakan tidak lagi sesuai, maka mereka akan bertukar parti kerana melihat perjuangannya tidak seiring dengan parti disertai sebelum ini.
"Di negara kita didapati antara alasan yang diberikan itu kadangkala tidak begitu kukuh sehingga menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan marah dengan tindakan sedemikian.
"Jika perubahan itu disebabkan atas dasar ideologi, maka ia satu amalan politik yang biasa, namun jika bertukar atas alasan yang tidak dapat diterima oleh masyarakat, maka perlulah dibuat suatu peraturan atau dasar bagi memastikan tindakan sebegini tidak menjejaskan kestabilan politik peringkat negeri mahupun Persekutuan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca