INDUSTRI perhotelan sebelum ini antara paling teruk terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu.
Penularan wabak Covid-19 menyaksikan kebanyakan hotel terpaksa menghentikan operasi mereka berikutan impak pandemik itu terhadap industri perhotelan negara.
Keadaan itu menyebabkan puluhan ribu pekerja yang bergantung punca rezeki bagi menyara kehidupan diri dan keluarga mula mencongak nasib mereka pada masa depan.
Difahamkan ada pekerja hotel terpaksa dicutikan tanpa gaji, elaun dan gaji mereka terpaksa dipotong dan lebih memeritkan apabila ada dalam kalangan pekerja diberhentikan serta-merta.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor dalam kenyataan disiarkan Bernama berkata, lebih 30,000 pekerja dalam industri perhotelan di seluruh negara hilang pekerjaan.
Menurut beliau, lebih 10, 000 pekerja dicutikan tanpa gaji dan lebih 6, 000 pekerja dipotong gaji berikutan aktiviti perniagaan industri itu yang menguncup.
Melihat angka itu sudah tentu ia sesuatu yang membimbangkan lebih-lebih lagi ramai dalam kalangan pekerja sektor lain juga hilang sumber pendapatan!.
Langkah kerajaan memperkenalkan inisiatif seperti Program Subsidi Upah (PSU) antara RM600 ke RM1,200 untuk menggalakkan majikan mengekalkan pekerja berpendapatan RM4,000 ke bawah dilihat bersesuaian pada masa ini.
Jika inisiatif seperti itu lambat ditangani kerajaan, bilangan pekerja yang diberhentikan pasti akan terus meningkat drastik.
Bagaimanapun, Ahad lalu, kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik dan rentas negeri beroperasi menerusi perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.
Ini sekali gus memberi khabar gembira kepada mereka terutama industri hotel kembali beroperasi dengan masing-masing sudah bersiap sedia mematuhi kebiasaan baharu.
Ini sudah tentu memberi petanda positif kepada industri pelancongan negara yang sebelum ini suram akibat larangan beroperasi oleh kerajaan.
Ironinya, semua pihak yang terbabit dalam industri itu pasti menarik nafas lega kerana sektor itu kini kembali memulakan perniagaan masing-masing dengan norma baharu.
Tentunya, keluarga sudah merancang untuk menghirup udara nyaman dan dingin di Cameron Highlands yang menyajikan keindahan dan pemandangan menarik flora serta fauna di tanah tinggi itu.
Tidak hairanlah boleh diramalkan keadaan sesak dijangka berlaku di tempat peranginan itu dengan deretan kenderaan pada musim cuti hujung minggu ini.
Begitu juga di tempat lain, saya merasakan suasana tempat menarik di negara ini dijangka dipenuhi pengunjung.
Bagaimanapun, apa yang penting sejauh mana rakyat dapat mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan percutian yang sesak dengan pengunjung?.
Dalam kita berseronok membawa keluarga bercuti jangan pula kita culas meraikan kelonggaran yang diberikan kerajaan sepanjang tempoh PKPP ini.
Kebenaran beberapa sektor beroperasi semula yang diberikan pihak kerajaan diyakini mampu merancakkan semula ekonomi serta kehidupan sosial rakyat.
Harus diingat wabak ini boleh merebak kembali jika kita tidak patuhi SOP kerana kejayaan fasa pemulihan ini bergantung kepada sejauh mana rakyat mempertingkatkan amalan disiplin diri.
Bagi pihak pengusaha industri perhotelan pula, mereka tentunya sudah bersiap sedia dengan tempahan bilik yang 'luar biasa' selepas hampir tiga bulan sepi tanpa pengunjung.
Pengusaha hotel perlu berusaha memastikan penginapan mereka mematuhi protokol kesihatan sebagai zon bebas Covid-19.
Selain itu, aspek pematuhan lain seperti penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan pengunjung, selain pekerja dan penghujung digalakkan memakai topeng hidung dan mului dan menyediakan pembasmi kuman di tempat tumpuan utama.
Pengusaha hotel juga perlu menyediakan pengimbas kod QR atau rekod kedatangan pelanggan untuk mereka melengkapkan borang perisytiharan diri selain meletakkan gegantung peringatan kesihatan dan kebersihan bagi memberi maklumat kepada pengunjung.
Sekiranya semua ini dipatuhi, penularan Covid-19 ini dapat dibendung sekali gus rakyat boleh bercuti dalam keadaan selamat serta sektor pelancongan yang kembali pulih dapat menggalakkan lagi peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.
* Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Selangor/KL
Klik di sini untuk terus membaca