SHAH ALAM - Tempoh moratorium selama enam bulan yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mac lalu perlu dilanjutkan bagi memberi lebih ‘nyawa’ kepada majikan dan pekerja yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, tempoh enam bulan iaitu dari Mac lalu sehingga September ini belum mencukupi untuk menstabilkan kembali aliran tunai syarikat yang terjejas.
"Sebab itu kita merasakan langkah melanjutkan moratorium amat penting kerana ia dapat membantu sedikit sebanyak majikan dan juga pekerja kerana kebanyakan syarikat masih mengalami masalah aliran wang tunai.
"Atas sebab itu, mereka (majikan) tidak dapat membayar gaji seratus peratus dan tidak ada kerja lebih masa dan sebagainya sekali gus menjejaskan keupayaan pekerja sebenarnya untuk membayar hutang mereka yang telah ditetapkan.
"Jadi, moratorium itu sebenarnya dapat memberikan kelegaan dan sedikit nafas kepada pekerja supaya mereka tidak dibebani dengan pembayaran balik hutang berkenaan dengan serta-merta,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan Sinar Harian semalam berhubung saranan supaya moratorium enam bulan yang diumumkan BNM pada pertengahan Mac lalu diteruskan.
Menerusi ruangan analisis Sinar Harian itu, dua pakar ekonomi dan kewangan berhujah bahawa lanjutan itu bagaimanapun boleh dilaksakanan secara bersasar dan bersyarat.
Sementara itu, Shamsuddin berkata, meskipun hampir kesemua sektor ekonomi di Malaysia telah beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun lalu, namun permintaan pasaran masih lagi rendah.
Menurutnya, perkara itu dipengaruhi oleh sentimen pengguna yang masih lemah dan tidak ingin berbelanja kerana kelembapan ekonomi ketika ini."Memandangkan ekonomi negara terus lembap sehingga hujung tahun ini, jadi amat penting untuk moratorium dilanjutkan lagi. Terdapat 650,000 majikan yang terjejas.
"Ini kerana ia sedikit sebanyak dapat memberikan insentif dan dorongan kepada pekerja supaya mereka dapat terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang meruncing ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca