TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengumumkan untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu lalu pastinya memberi kejutan kepada banyak pihak terutama ketika Selangor masih bergelut melawan penularan wabak Covid-19.
Difahamkan, selain Daroyah, 13 pimpinan Wanita PKR Selangor dan 43 pimpinan Cabang Kapar termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kapar dan Srikandi Cabang Kapar turut melakukan tindakan sama.
Bagaimanapun, bagi pemerhati politik, tindakan Daroyah sudah dijangka kerana beliau sebelum ini merupakan antara pengikut bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Ketua Wanita PKR yang digantung keahliannya, Haniza Mohd Talha.
Jika diimbas, senario politik di Selangor sebelum ini tidak berlaku banyak perubahan walaupun Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan mengambil alih beberapa negeri.
Hanya kedengaran ura-ura berlakunya Langkah Rawang bagi membuka ruang kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding lantas diangkat sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari.Khabar angin itu bagaimanapun segera dicantas oleh ADUN Rawang sendiri, Chua Wei Kiat yang sebelum ini menafikan spekulasi itu.
Terkini, PH memiliki 42 kerusi (PKR 18 kerusi, DAP 16 kerusi, Amanah lapan kerusi) manakala pembangkang di Selangor pula mempunyai 14 kerusi membabitkan BN (lima), Pas (1), Bersatu (5) dan Bebas (3).
Jika berdasarkan angka, memang dapat dilihat PH di Selangor masih boleh menarik nafas lega dan tidak tergugat dengan tindakan Daroyah itu kerana mereka memiliki jumlah majoriti yang besar.
Persoalannya, apakah sebenarnya punca utama Daroyah sanggup melepaskan semua jawatan disandangnya dan meninggalkan parti tersebut?
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berpendapat tindakan Daroyah itu sebenarnya boleh dianggap sebagai permulaan kepada perang psikologi atau ‘psywar’ terhadap pimpinan parti berkenaan.
Ahmad Marthada berkata, langkah itu sebagai isyarat bagi menunjukkan bahawa Mohamed Azmin masih mendapat sokongan kuat penyokong parti berkenaan khususnya di Selangor.
"Ini baru seorang ADUN. Saya jangkakan akan ada lagi pemimpin meninggalkan PKR namun mereka tidak akan keluar semua sekali gus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian kelmarin.
Menyentuh mengenai kedudukan Amirudin sebagai Menteri Besar, Ahmad Marthada berpandangan masih ada kepimpinan PKR meragui kesetiaan bekas pengikut setia Mohamed Azmin itu.
"Walaupun Amirudin kerap kali melaungkan kesetiaannya kepada parti namun beliau masih dibayangi Mohamed Azmin sehingga kini,” katanya.
Sementara itu, penganalisis sosio politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut senada dengan Marthada dan berpandangan PH Selangor akan tetap utuh selepas ini.
Beliau berkata, komposisi kerusi dimiliki PH di negeri ini masih memihak kepada gabungan itu.
"Tindakan Daroyah meninggalkan PKR sememangnya sudah dijangka kerana beliau antara pengikut Mohamed Azmin sebelum ini tetapi langkah berkenaan tidak akan menggugat PH kerana mereka masih memiliki jumlah kerusi yang solid,” katanya.
Kebanyakan pemerhati politik beranggapan Selangor masih menjadi kubu kuat buat PH dan sukar untuk ditumbangkan walaupun dijangka akan ada lagi adegan melompat parti selepas ini.
Mungkin benar tindakan Daroyah itu satu permulaan kepada ‘psywar’ terhadap kepimpinan PKR dalam usaha untuk merampas semula negeri ini atau mungkin juga tindakan itu sebagai usaha menghalang ‘Langkah Rawang’ yang menjadi ura-ura sebelum ini dengan menunjukkan Mohamed Azmin masih ada pengaruhnya yang tersendiri.
Untuk rekod, Mohamed Azmin merupakan antara pengasas parti PKR dan beliau pastinya mempunyai penyokongnya yang tersendiri khususnya di Selangor yang menjadi kawasan Parlimen dan DUN diwakilinya.
Namun begitu, laluan untuk merampas Selangor daripada PH tidak mudah kerana gabungan ini mendominasi kedudukan komposisi kerusi dan mempunyai sokongan yang kukuh.
Apa pun alasannya, kepentingan rakyat harus diutamakan berbanding agenda politik masing-masing khususnya ketika negara sedang menuju ke arah pemulihan serangan wabak Covid-19.
Klik di sini untuk terus membaca