KUALA LUMPUR - Seorang remaja 15 tahun menimbulkan kekaguman netizen selepas mempamerkan kelebihan dengan meneka surah yang terkandung dalam al-Quran menerusi satu aplikasi di Instagram hingga tular di media sosial. Muhammad Zaim Aqmal... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Seorang remaja 15 tahun menimbulkan kekaguman netizen selepas mempamerkan kelebihan dengan meneka surah yang terkandung dalam al-Quran menerusi satu aplikasi di Instagram hingga tular di media sosial.

Muhammad Zaim Aqmal Abdul Najib mengakui, dia tidak menyangka video seminit 17 saat yang dimuat naik di Twitter menjadi perbualan hangat pengguna alam maya.

"Sebenarnya saya buat suka-suka sahaja dan tak sangka ramai suka dan memuji.

"Saya pun berharap agar video ini dimanfaatkan oleh orang ramai dan memberi inspirasi kepada mereka yang ingin menghafal al-Quran mahu pun sedang menghafal," katanya kepada Sinar Harian.

Pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh Hulu Albab itu berkata, minat mendalam terhadap kitab suci itu mendorongnya mempelajari bidang agama.

"Saya mula menghafal al-Quran sejak usia 7 tahun yang kemudiannya melanjutkan pengajian ke MRSM Gemencheh, di bawah guru tasmik saya, Ustaz Muhammad Shaharuddin Mat yang sentiasa memperbetul bacaan.

"Dalam sehari, saya menghafal surah dalam satu hingga dua halaman sahaja.

"Antara surah yang sukar nak menghafal surah As Syuara’ kerana ayat pendek-pendek," katanya.

Paparan Twitter Muhammad Zaim meneka surah dan ayat al-Quran dengan mudah dalam tempoh tujuh saat.

Ditanya mengenai pemakanan yang diamalkannya, Muhammad Zaim berkata, tiada makanan khusus sebaliknya cuma kerap makan madu dan kismis.

Jelasnya, bagi mereka yang ingin menghafal al-Quran, jiwa juga mesti kental dan tahan dengan ujian.

"Sifat tanggungjawab dan disiplin untuk mengulang wajib wujud dalam diri, jika tidak kita tidak fokus dan lalai," katanya.

Muhammad Zaim (dua dari kanan) dan rakan-rakannya.

Terdahulu, video Muhammad Zaim meneka surah dan ayat al-Quran tular di laman sosial dan rata-rata netizen teruja kerana setiap soalan yang diajukan dapat dijawab dengan mudah tanpa salah dengan mengambil masa tujuh saat.

Sehingga kini, video berkenaan ditonton lebih 272,000 tontonan dan lebih 30,100 tanda suka dari netizen.

Klik di sini untuk terus membaca