KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menyifatkan pengumuman peruntukan RM10 juta menerusi Inisiatif Prihatin Sukan 2020 kepada persatuan sukan kebangsaan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai berita yang cukup melegakan persatuan sukan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Menurut Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, sebagai antara persatuan sukan yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PKS), bantuan one-off berjumlah RM5,000 sehingga RM10,000 pastinya akan memberikan kesan positif kepada KHM dalam meringankan impak ekonomi serta kewangan persatuan susulan pandemik Covid-19 selain turut membantu dari segi kelangsungan pengurusan persatuan.
Tambahnya, tindakan proaktif Kementerian Belia Dan Sukan secara tidak langsung akan membantu semua persatuan sukan yang berkelayakan untuk bangkit kembali berdepan dengan cabaran susulan penyebaran pandemik Covid-19.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya Datuk Seri Reezal Merican di atas Inisiatif Prihatin Sukan 2020 yang telah diumumkan hari ini di mana peruntukan yang akan diberikan ini sangat membantu bagi meringankan cabaran yang persatuan sukan perlu hadapi susulan penyebaran Pandemik Covid-19.
"Semua sedia maklum bukan sahaja industri sukan tetapi pelbagai pihak juga cukup terkesan ekoran penyebaran pandemik Covid-19 terutamanya dari sudut ekonomi dan kami di KHM menyokong penuh pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Reezal Merican.
"Ini satu tindakan yang cukup positif dalam membantu persatuan sukan untuk terus bernafas sambil berdepan dengan kesan yang ditinggalkan oleh penyebaran pandemik Covid-19. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya Datuk Seri Reezal Merican di atas inisiatif ini,” kata Subahan.
ARTIKEL BERKAITAN: RM10 juta suntikan semangat buat persatuan sukan
Semalam peruntukan RM10 juta yang diberikan kepada industri sukan dan rekreasi akan dibahagikan kepada tiga kategori dengan kategori pertama iaitu peruntukan RM2 juta bagi membantu pengurusan persatuan sukan kebangsaan yang berdaftar di bawah PJS.
Sementara kategori kedua pula peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membantu menjalankan program dan aktiviti persatuan sukan manakala kategori ketiga adalah peruntukan RM3 juta bagi membantu program pendigitalan serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) persatuan.
Klik di sini untuk terus membaca