TIBA-TIBA saya teringat kisah seorang nenek berpesan tiga perkara kepada cucunya yang hendak berkelana meninggalkan kampung. Pertama, jangan tinggal sembahyang kecuali terlupa. Kedua, jangan mencuri kecuali terpaksa. Ketiga, jangan kahwin... Klik di sini untuk terus membaca

TIBA-TIBA saya teringat kisah seorang nenek berpesan tiga perkara kepada cucunya yang hendak berkelana meninggalkan kampung.

Pertama, jangan tinggal sembahyang kecuali terlupa. Kedua, jangan mencuri kecuali terpaksa. Ketiga, jangan kahwin kecuali suka sama suka.

Tidak perlulah dikisahkan apa akhirnya terjadi kepada kelana desa itu; tidak payah juga disoal siasat siapa – dan di mana – nenek yang bergeliga itu.

Cuma saya rasa nenek itu tidak cukup pandai sebab sekarang ada nenek moden yang lebih bijaksana dalam memberi petua kepada cucu-cicit era siber.

Nenek era siber berpesan kepada cucunya, masih berpandukan bidalan lama: alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Oleh sebab cucu tidak faham bidalan dan tidak tahu pun pekasam, nenek tersebut menjelaskan, jika hendak berbuat jahat biar berbaloi-baloi.

Masih tidak faham lagi, nenek berbisik kepada cucu-nya yang keliru: "Kalau engkau hendak mencuri, jangan curi Milo, rompaklah bank!”

Jangan ditanya di mana nenek siber itu sekarang, tetapi pesanannya banyak diikuti oleh cucu-cicit zaman siber dan ternyata berkesan.

Banyak telah dilihat di depan mata betapa mudaratnya mencuri setin Milo di supermarket. Nilai curiannya mungkin tidak sampai RM20, tetapi hukumannya kena penjara.

Curi sehelai seluar dalam wanita di pasar raya, kena bicara di mahkamah, kena denda, silap-silap gaya masuk penjara, tinggal anak dan tinggal bini berduka lara.

Sebaliknya pinjam @ songlap duit bank – dengan cara tipu helah, skandal – RM juta-juta, boleh joli badak tanpa bayar apa-apa, tidak kena penjara pun.

Maka cucu-cicit zaman moden mendapat pengajaran, kalau meminjam RM10,000 kita jadi susah; kalau pinjam RM100 juta bank yang susah. Lebih baik susahkan bank daripada susahkan diri.

Pinjam PTPTN RM10,000 untuk menuntut ilmu kena kejar hingga ke lubang cacing, songlap duit bank RM beratus juta, tidak kena apa-apa.

Buru

Pinjam duit Mara atau duit Tekun RM seribu dua untuk meniaga kerepek atau tapai pulut akan kena buru hingga tidak senang tidur.

Curi duit bank RM beratus juta untuk meniaga buluh kasap, makan angin luar negara, kahwin isteri muda, tidak ada siapa berani kejar.

Tentu semua masih ingat dalam kes Malaysia moden beberapa bank telah lingkup dan tutup kedai kerana hutang yang gagal dilunaskan.

Peminjam yang bijaksana lagi licik bukan sahaja tidak perlu membayar hutang yang tertunggak, malah diberi hutang baharu RM juta-juta.

Pengusaha kerepek pisang terpaksa menyiapkan kertas kerja panjang dan tebal hanya untuk mendapatkan pinjaman RM10,00 daripada bank.

Penipu korporat tidak perlu buat kertas kerja, cukup dengan hanya menelefon pengurusan bank atau menggunakan kontak politik, untuk meminjam RM berbilion.

Sepandai-pandai bank pun habis kena tipu cucu-cicit moden. Dan, si penipu lepas bebas, macam tidak berdosa sikit pun. Hebat pesanan nenek!

Maka nasihat nenek jugalah yang membuatkan anak cucu zaman sekarang tidak segan silu untuk menipu dan merompak bukan sahaja duit bank, malah duit rakyat.

Orang kita zaman dulu yang terkenal dan selalu digambarkan dengan sifat-sifat murni, sopan santun, pemalu lagi beradab hilang semua nilai baik itu untuk muncul sebagai pencuri, perompak, kaki songlap, kaki rogol dan malaon.

Sebab, malu apa jadi perompak dalam dunia yang penuh dengan penipu dan kaki skandal? Sekarang lagi besar yang kita rompak lagi herolah kita.

Kalau setakat mencuri setin Milo atau sehelai seluar dalam, buat malu sahaja apabila kena gari tangan masuk mahkamah.

Lebih baik rompak RM berbilion, tidak kena gari, tidak perlu pakai baju lokap, malah boleh senyum di mahkamah ketika menghadapi macam-macam tuduhan.

Mencuri Milo bernilai tidak sampai RM20 adalah sesuatu yang mengaibkan dan dihina. Berdosa sangat, mati masuk neraka. Merompak RM juta-juta-juta adalah sesuatu yang dimegahkan, dimuliakan.

Pesan nenek memang telah merobah sistem nilai kita. Apa boleh buat!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah

Klik di sini untuk terus membaca