AIDILFITRI tahun ini walaupun disambut dalam keadaan yang aneh dan tidak pernah berlaku, namun ia tetap meninggalkan kesan yang istimewa kepada kita semua. Mana tidaknya, hari raya tahun ini boleh dikatakan disambut sebanyak dua kali... Klik di sini untuk terus membaca

AIDILFITRI tahun ini walaupun disambut dalam keadaan yang aneh dan tidak pernah berlaku, namun ia tetap meninggalkan kesan yang istimewa kepada kita semua.

Mana tidaknya, hari raya tahun ini boleh dikatakan disambut sebanyak dua kali walaupun bulan Syawal memang selama sebulan.

Merak Jalanan sempat melihat kiriman beberapa sahabat handai di dalam laman sosial apabila mereka akhirnya berpeluang balik ke kampung dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan bermula 10 Jun lalu.

Sebelum ini mereka menyambut hari raya bersama keluarga sendiri sahaja di bandar.

Ada yang berkumpul dengan memasak lemang, ada yang berkelah di tepi pantai dan ada juga yang berkumpul di rumah sahaja kerana ancaman koronavirus masih kekal ada dalam masyarakat kita.

Apapun, Merak Jalanan gembira melihat rakan-rakan boleh balik ke kampung. Ada juga yang mengambil keputusan balik pada hujung bulan ini atau bulan hadapan kerana tidak mahu terperangkap di dalam kesesakan di lebuh raya.

Kepada rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang menyambut hari raya dan Gawai pula, mereka mengambil keputusan tidak pulang ke kampung atas beberapa sebab.

Sebab pertama adalah tidak mahu mengambil risiko dijangkiti koronavirus kerana penerbangan yang memakan masa lama dan sebab kedua adalah tiket kapal terbang yang terlalu mahal.

Merak Jalanan memeriksa harga tiket dari Kuala Lumpur ke Kuching untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak mencecah RM8,000.

Jumlah ini sudah pasti membatalkan niat ramai anak-anak perantau dari Borneo pulang ke kampung.

Ada seorang sahabat Merak Jalanan berkata, dia berdoa supaya keluarganya di Sarawak tidak jatuh sakit atau terjadi perkara musibah kerana kemungkinan besar dia tidak boleh kembali ke kampung dalam masa terdekat kerana harga tiket yang terlalu mahal.

Tahun 2020 akan kekal dalam memori kita semua sebagai tahun yang sangat mencabar ditambah pula kegawatan ekonomi dan wabak yang mengancam nyawa.

Alhamdulillah negara kita kekal aman dan semoga kita boleh menyambut hari raya seperti biasa pada tahun hadapan.

Klik di sini untuk terus membaca