TEKI-TEKI mengenai siapa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan akhirnya terjawab kelmarin.
Selepas Warisan menjadi antara parti yang terawal menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke kelmarin akhirnya mengakui DAP yang memiliki 42 kerusi Parlimen turut berpihak kepada Dr Mahathir.
Namun, tanpa mengetepikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP, Warisan dan Amanah mencadangkan Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.
Jika cadangan itu benar-benar berlaku ini bermakna Malaysia akan mengulangi gabungan Dr Mahathir dan Anwar sama seperti tahun 1993 hingga 1998 sebelum Anwar dipecat daripada jawatan kerajaan dan UMNO.
Tindakan DAP, Warisan dan Amanah yang berpaling daripada Anwar dan PKR untuk meletakkan Anwar dengan status bakal Perdana Menteri bingkas menaikkan kemarahan penyokong Anwar.
Ia sesuatu yang agak mengejutkan apatah lagi pemimpin tertinggi DAP, Amanah dan Warisan kebelakangan ini dilihat sangat akrab dengan Anwar.
Bagaimanapun, dalam politik kita sering mendengar ungkapan, tidur mungkin sebantal, tetapi mimpi mungkin lain-lain. Ternyata mimpi PKR tidak indah apabila ia dibiarkan bersendirian dalam isu calon Perdana Menteri.
Semua parti dan pemimpin PH mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk berpaling daripada Anwar dan PKR walaupun hakikatnya PKR kini masih mempunyai 39 ahli Parlimen, manakala Dr Mahathir bersama rakan-rakan serpihan Bersatu hanya berlima.
Bagi penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, walaupun beliau tidak menolak alasan Dr Mahathir mungkin boleh menarik sokongan beberapa lagi ahli Parlimen terutama daripada Bersatu untuk kembali bersama PH dan seterusnya membentuk kerajaan, namun beliau melihat dua alasan lain yang kuat adalah pesona jawatan serta kuasa.
Katanya, parti gabungan PH lebih memilih Dr Mahathir untuk menjadi calon Perdana Menteri PH berbanding Anwar kerana mereka mahu mendapatkan kembali jawatan strategik dalam Kabinet.
Menurutnya, sewaktu pentadbiran kerajaan PH di bawah Dr Mahathir, kedua-dua parti itu dilihat mendominasi jawatan penting dalam Kabinet kerajaan selain Bersatu dengan PKR dilihat memiliki jawatan paling sedikit.
"Cadangan lantik Dr Mahathir kerana DAP dan Amanah mahu memastikan mereka kembali mendapat kedudukan dan jawatan strategik dalam kerajaan seperti dahulu.
"Pesona kuasa ditawarkan Dr Mahathir kepada kedua-dua parti itu menyebabkan mereka sanggup mengetepikan PKR, rakan lama mereka, lebih-lebih lagi mereka menyedari kehidupan tanpa jawatan menteri tidak seindah sewaktu mereka memegang tampuk kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Awang Azman berkata, DAP dan Amanah mungkin terlupa tanpa pengorbanan dan persetujuan PKR untuk menggunakan logo dan jentera PKR, PH mungkin tidak menang dengan Amanah mungkin gagal meraih walau satu kerusi Parlimen sekalipun.
Menurutnya, senario terkini dalam gabungan PH itu membuktikan hanya Anwar dilihat berpegang pada prinsip diperjuangkan PH, manakala parti-parti lain pula hanya memperjuangkan kepentingan individu, pengaruh dan kuasa.
"Bagi saya, alasan Dr Mahathir mengetepikan Anwar sebelum ini adalah tidak logik dan hanya bertujuan memecahbelahkan PH,” dakwanya.
Bukti ikhlas
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik bebas, Dr Jeniri Amir berpendapat sudah tiba masa untuk Dr Mahathir pula melakukan pengorbanan dengan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Menurutnya, pengorbanan Dr Mahathir akan membuktikan beliau ikhlas, dilihat jujur dan berjiwa besar dalam memastikan kerajaan PH kembali membentuk kerajaan.
"Lagipun, apa yang dapat dilakukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selama enam bulan?
"Kalau Dr Mahathir ikhlas, beliau harus meyakinkan penyokongnya untuk memberi sokongan kepada Anwar, barulah beliau dilihat jujur, berjiwa besar dan dipandang tinggi bukan sahaja pihak kawan, bahkan parti lawan.
"Masalah utama di sini ialah Dr Mahathir dilihat hanya memikirkan beliau sahaja pemimpin hebat dalam PH dan menganggap orang lain tidak mampu menjadi Perdana Menteri. Takkan Anwar hendak masuk lubang sama (ditipu Dr Mahathir) untuk kali ketiga?” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berpandangan strategi DAP dan Amanah meletakkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri adalah bagi tujuan penjenamaan politik dalam meraih kembali kepercayaan rakyat.
Menurutnya, DAP dan Amanah percaya jenama Dr Mahathir adalah lebih laris untuk ‘dijual’ kepada rakyat berbanding Anwar, terutama dalam meraih kembali sokongan pengundi Melayu terhadap PH yang semakin terhakis.
"Apa yang jelas di sini kita lihat kontroversi peralihan kuasa antara Tun M dan Anwar berlaku pada satu jangka masa panjang dan senario ini masih berterusan sehingga hari ini walaupun kerajaan PN ambil alih Putrajaya.
"Ini saya rasa lebih kepada persoalan mengapa kerjasama dan perbincangan sesama mereka masih tidak konsisten sehingga kini.
"Senario itu juga boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengapa Anwar masih tidak boleh dicadangkan menjadi Perdana Menteri meskipun selepas beliau dibebaskan dari penjara dan kembali ke kancah politik negara,” katanya.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan kerjasama dalam pakatan politik PH yang dilihat tidak konsisten meskipun hubungan PKR, Amanah dan DAP wujud sejak zaman Pakatan Rakyat.
Jumlah kerusi Parlimen
PH PlusDAP............42
PKR............39
Amanah........11
Warisan..........9
Bersatu.........5
UPKO..............1
Klik di sini untuk terus membaca