TIDAK dapat tidak, kita mesti bersetuju bahawa radar perhatian dunia dan rakyat Malaysia sejak tahun 2014 hingga sekarang terhala kepada etnik Rohingya, pelarian minoriti Islam dari Myanmar yang dikatakan paling malang di planet ini. Isu... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK dapat tidak, kita mesti bersetuju bahawa radar perhatian dunia dan rakyat Malaysia sejak tahun 2014 hingga sekarang terhala kepada etnik Rohingya, pelarian minoriti Islam dari Myanmar yang dikatakan paling malang di planet ini.

Isu itu masih berpanjangan, ia datang dan pergi sebelum kembali lagi. Tidak kira betapa kuatnya usaha Malaysia mengusir bot pendatang tersebut daripada mendarat di Langkawi atau mana-mana pantai di negara ini, masalah itu tidak akan berakhir selagi punca sebenar mereka melarikan diri iaitu penindasan di tanah air sendiri tidak ditangani apatah lagi diabaikan.

Malaysia bukanlah negara anggota yang menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berkaitan Status Pelarian 1951. Bagaimanapun, itu tidak bermakna Malaysia langsung tidak boleh menerima mereka.

Pakar Antropologi daripada Universiti Queensland, Australia, Dr Gerard Hoffstaedter pernah mengatakan kepada penulis bahawa kerajaan Malaysia wajar menimbangkan tentang pengambilan pelarian itu berserta polisinya pada masa depan. Misalnya, perlukah mereka tidak diterima secara sah, berapakah jumlahnya dan apakah prosedurnya? Jika tidak melalui jalan sah, jalan seludup akan berleluasa.

Nah, persoalan lain semasa wabak Covid-19 sekarang ialah perlukah mereka dibenarkan mendarat atau dibiarkan mati di laut? Jika kita membenarkan mereka masuk, tentunya ada prosedur yang harus diikuti.

Di sinilah pentingnya pengambilan mereka didokumentasikan. Dalam hal ini, penulis pernah berbincang dengan Pengasas RVision, Mohamad Noor, seorang warga Rohingya yang tinggal di Ampang, Selangor. Katanya, dengan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan dan pendaftaran alamat protokol internet, pihak berkuasa Malaysia boleh dan berupaya menjejaki pergerakan etnik Rohingya di negara ini.

Tambah Mohamad Noor, sebahagian negara, misalnya Sweden, Denmark dan Jerman, mengambil pelarian secara berpilih. Hanya yang berbakat dan berguna sebagai sumber tenaga manusia diambil. Malangnya, kata Mohamad Noor, pelarian Rohingya rata-ratanya miskin dan kurang pendidikan.

Justeru, Mohamad Noor mengesyorkan supaya etnik Rohingya yang sudah berada di Malaysia diberikan pendidikan sekali gus meningkatkan peluang mereka diterima di negara ketiga. Penulis sedar ramai yang skeptikal dengan syor itu. Kata mereka, mana boleh begitu, nanti mereka akan menuntut hak sama rata dan mahu menjadi warganegara pula. Andaian itu tidak semestinya tepat.

Berdasarkan pengalaman bersama pelarian Rohingya dan kerja-kerja kemanusiaan yang penulis lakukan sebelum ini, hakikatnya apa yang mereka mahukan ialah pendidikan dan insurans yang merupakan hak asasi manusia.

Pendidikan

Jangan lupa pada tahun 2017, kerajaan ketika itu pernah mengumumkan rancangan untuk menyediakan skim insurans serta pelan pendidikan prasekolah dan sekolah rendah dengan sukatan pelajaran sendiri kepada pelarian itu.

Penulis juga ingin menceritakan pengalaman seorang etnik Rohingya, Dr Hyla Kyaw yang kini tinggal di London, United Kingdom. Sebelum ini beliau berpindah-randah dari Myanmar ke Bangladesh kemudian ke Belanda.

Menurutnya, perkara utama yang dititikberatkan selepas beliau ditempatkan dan diterima sebagai penerima suaka di negara ketiga hanyalah satu iaitu pendidikan. Ini termasuk program tidak formal untuk memperkenalkan adab, tatasusila dan undang-undang.

"Program ini juga termasuk mengajar bahasa kebangsaan di negara yang didiami,” katanya sambil menyebut model tersebut dipraktikkan di Sweden, Perancis, Kanada, dan Jerman untuk pelarian Syria dan Iraq.

Sekumpulan pelarian Rohingya yang menaiki sebuah bot ditahan di perairan Malaysia pada 5 April lalu.

Dalam konteks Rohingya di Malaysia, setakat ini mereka tiada masalah integrasi sama ada bahasa atau budaya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah tinggal lama di sini.

Mengenai isu masyarakat Rohingya merampas peluang pekerjaan rakyat tempatan, penulis berpendapat kita boleh mengubah ancaman menjadi peluang. Antaranya ialah pelan latihan tenaga kerja separa mahir dan kurang mahir untuk disalurkan kepada sektor pertanian dan buruh. Dengan cara itu, Malaysia juga boleh mengurangkan kos import tenaga kerja asing dari Bangladesh dan Nepal. Ini tentunya juga dapat menyelamatkan pengaliran keluar wang negara bernilai berbilion-bilion ringgit setiap tahun.

Sebagai contoh, tenaga kerja Rohingya boleh dimanfaatkan dalam projek Inisiatif Jalur dan Laluan, dan kita boleh berunding bagi mengurangkan peratusan buruh dari China.

Namun, semua itu hanya menjadi efektif jika ia datang bersama pemantauan. Apa yang berlaku di Pasar Borong Selayang adalah mereka tidak diselia dengan baik sehingga menguasai rantaian pasaran setempat, menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan warga tempatan. Sekiranya mereka diselia dan dipantau, perkara itu dapat dielakkan atau dikurangkan.

Penyelesaian

Seperkara lagi yang penting ialah penyelesaian secara struktur dari akarnya. Ini bermaksud, perlunya negara-negara ASEAN+Australia dan PBB menyelesaikan masalah ini secara pelbagai hala. Pemerintah Myanmar harus ditekan dan dipertanggungjawabkan. Di mana silapnya kerana badan dunia sendiri mengakui penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar sehingga mencetuskan gelombang besar pelarian merupakan salah satu krisis kemanusiaan paling dahsyat dalam dunia.

Jangan lupa, mereka dirogol, dibunuh dan dibakar hidup-hidup di negara sendiri. Masalah pelarian Rohingya tidak akan berakhir selagi pemerintah Myanmar terus ‘membisu’, manakala PBB hanya bersuara ‘hangat-hangat tahi ayam’. Sampai bila negara jiran, terutama Malaysia, yang sudah sarat dengan masalah pendatang asing tanpa izin terpaksa menerima mereka atas dasar kemanusiaan?

Masalah Rohingya ini kompleks kerana membabitkan isu kemanusiaan, pemerdagangan manusia dan isu imigran yang sering mencetuskan reaksi panik masyarakat Malaysia.

Apa yang penting, ASEAN harus berfungsi dengan lebih baik dalam memberi tekanan kepada Myanmar dalam menyelesaikan krisis Rohingya. Sekarang adalah masa terbaik untuk Malaysia mencari jalan tengah iaitu menyediakan perancangan rapi jika mahu menerima pelarian atas nama kemanusiaan tetapi pada masa sama memastikan kehadiran mereka tidak memberi masalah kepada negara. Perkara itu tidak semudah membalikkan tapak tangan, tapi perlu dilakukan dengan segera. Kalau bukan hari ini, bila lagi?

Penulis mahu menutup komentar ini dengan memetik kata-kata Dr Maung Zarni, rakyat Myanmar beragama Buddha yang lantang mengkritik penindasan etnik Rohingya di negaranya: "Penyeludupan manusia hanyalah simptom, carilah penawarnya dan hapuskan penyebabnya.”

* Dr Azlinariah Abdullah ialah Pengkaji Sosiologi dan Budaya Rohingya, Institut Asia-Eropah (AEI), Universiti Malaya. Beliau juga penulis buku Air Mata Kesengsaraan Rohingya, Identiti Pelarian dan Penindasan serta sebuah lagi buku yang bakal diterbitkan Julai ini, Pengembara Tanpa Pasport

Klik di sini untuk terus membaca