PERISTIWA kematian George Floyd telah mendedahkan bahawa masalah diskriminasi dan rasisme semakin serius di Amerika Syarikat.
Masalah itu tidak sahaja terhad dalam hal-hal domestik tetapi termasuk dalam sistem hubungan antarabangsa.
Sistem hubungan antarabangsa yang dimaksudkan adalah kaedah atau cara pelaku sama ada negara mahupun bukan negara seperti organisasi antarabangsa dan syarikat transnasional berinteraksi antara satu sama lain.
Ia termasuk agihan kuasa dan kekayaan antara negara-negara dan bukan negara. Undang-undang Antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memperjuangkan prinsip kesamarataan atau equality dalam kala-ngan negara-negara.
Namun, realitinya amat berbeza, malah dalam Majlis Keselamatan PBB sendiri, lima negara anggota tetap mempunyai kuasa veto untuk membatalkan mana-mana resolusi yang bertentangan dengan kepentingan mereka.
Dikotomi antara prinsip kesamarataan negara-negara dan realiti dapat diperhatikan dalam aspek ekonomi dan institusi kewangan antarabangsa, hal-hal campur tangan kemanusiaan, persepsi ancaman termasuk usaha memerangi keganasan.
Dalam bidang ekonomi, dasar yang diperjuangkan oleh sistem antarabangsa adalah ‘perdagangan bebas’.
Negara-negara digalakkan untuk meliberalisasikan ekonomi dan membuka pasaran kepada barangan serta perkhidmatan luar. Justifikasi yang diberi adalah perdagangan bebas menggalakkan daya saing dan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan.
Bagaimanapun, dasar perdagangan bebas dan liberalisasi ekonomi membawa lebih faedah kepada negara-negara perindustrian seperti AS dan anggota Kesatuan Eropah.
Ini kerana apabila negara-negara membangun meliberalisasikan ekonomi mereka, syarikat-syarikat multinasional yang mempunyai modal besar dan berteknologi tinggi akan beroperasi di mana-mana tanpa sekatan.
Persoalannya mampukah syarikat tempatan yang masih peringkat awal bersaing dengan syarikat multinasional?
Yang menjadi kebimbangan adalah syarikat tempatan akan diambil alih dan lama-kelamaan seluruh ekonomi terus dikuasai oleh syarikat multinasional negara-negara maju.
Ia akan menyebabkan peningkatan tahap kebergantungan negara-negara membangun terhadap negara-negara perindustrian di Barat.
Selain itu, institusi kewangan antarabangsa seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan badan ekonomi dunia, misalnya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang kesemuanya berpusat di negara-negara Barat.
Mereka sering memperjuangkan agenda dan kepentingan negara-negara Barat tanpa mengira kesejahteraan penduduk di negara membangun.
Negara-negara maju di Barat masih mempunyai perasaan megah diri dan berpendapat mereka mempunyai tanggungjawab untuk ‘mendidik’ serta ‘membawa pencerahan’ kepada negara-negara bukan Barat di Asia dan Afrika walaupun mereka telah mencapai kemerdekaan lebih setengah abad lalu.
Fahaman the white man’s burden iaitu kaum kulit putih mempunyai beban untuk membantu penduduk bukan kulit putih yang kurang maju masih dapat diperhatikan sehingga hari ini.
Konsep R2P atau Right to Protect telah dipergunakan oleh kuasa Barat untuk campur tangan dalam politik negara lain atas alasan untuk melindungi penduduk awam, sebaliknya matlamat sebenar politik adalah pertukaran rejim.
Selain itu, kuasa-kuasa Barat sering menggunakan isu hak asasi manusia dan demokrasi untuk campur tangan dalam urusan negara-negara membangun.
Misalnya, semasa protes di Hong Kong, pemimpin AS seperti Presiden Donald Trump menyokong dan memuji penunjuk perasaan sebagai pejuang, sebaliknya apabila berhadapan dengan Protes George Floyd, beliau mengecam penunjuk perasaan sebagai samseng.
Tidak dinafikan berlakunya konflik bersenjata, gerakan pemisah dan konflik etnik dalam kalangan negara membangun. Namun, masalah keselamatan itu kebanyakan berpunca daripada dasar ‘pecah dan perintah' yang pernah diamalkan oleh kolonial Barat.
Sistem antarabangsa juga masih mengamalkan dasar diskriminasi dan stereotaip terhadap negara dan penduduk bukan Barat. Misalnya, istilah ‘pengganas’ atau terrorist digunakan untuk serangan yang dilakukan orang Arab yang beragama Islam, sedangkan pembunuhan beramai-ramai oleh Brenton Harrison di Christchurch, New Zealand pada 2019 dan Timothy McVeigh di Oklahoma City pada 1995 jarang digelar sebagai terrorist, sebalik mereka hanya digelar white supremacist atau deviationist.
Amat jelas masih wujud sikap rasis, diskriminasi dan hipokrasi dalam sistem hubungan antarabangsa. Negara-negara membangun perlu memperkukuhkan kerjasama dan solidariti untuk melawannya.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca