BEBERAPA minggu lalu, ada beberapa isu yang kerap melintasi garis masa siaran di media-media sosial menyentuh hal-hal seputar rak buku dan persoalan untuk apa seseorang itu menulis?
Isu itu menariknya, bukan dilontarkan oleh kelompok netizen umum tetapi berlingkar dalam kalangan kelompok penulis sendiri dan mendapat pelbagai maklum balas daripada pemain industri yang lain.
Polemik ini mungkin dianggap agak remeh bagi sesetengah pihak dan disinikal sebagai isu dangkal yang tidak memberikan apa-apa natijah kepada industri perbukuan negara.
Namun, jika dihalusi dalam citra rausyanfikir, pelbagai konotasi dapat ditafsirkan melalui lontaran polos ini.
Isu rak buku berkisar tentang sikap penulis yang menziarahi rumah teman-teman lain dan memerhatikan sama ada terdapat atau tidak rak buku di ruang tamu atau persekitaran rumah berkenaan.
Apa yang sebenarnya ingin ditafsirkan melalui pemerhatian tersebut?
Adakah apabila ekor mata pengunjung berjaya menemukan rak buku atau susunan buku-buku di ruang tamu atau persekitaran rumah menonjolkan bahawa isi keluarga tersebut sememangnya mengamalkan sikap mengakrabi buku di rumah atau telah berjaya mewujudkan iklim ilmuwan di rumah?
Ada juga pandangan mengatakan bahawa situasi ini kurang santun dan tidak wajara dilakukan oleh seseorang tetamu.
Alasan mereka juga berasas kerana bagi mereka rak buku tidak semestinya berada di ruang tamu semata-mata apatah lagi jika ruang rumah agak kecil dan kurang selesa.
Malahan kedapatan juga yang lebih selesa meletakkan buku-buku di ruang kamar tidur atau kamar kerja khusus.
Secara peribadi saya lebih suka mengulas situasi ini dalam konteks akademia, apatah lagi jika kita ingin melihat sinergi pertautan antara iklim rausyanfikir ini dengan pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLBWC 2020).
Saya agak bersetuju dengan pandangan bahawa pemberatan kepada jumlah buku yang berada di rumah sebagai koleksi pembacaan mencerminkan minat atau kecenderungan isi rumah.
Jika di rumah berkenaan dipenuhi buku-buku berunsur keagamaan sudah pasti kita akan menanggapi bahawa tuan rumah berkenaan agak meminati hal-hal keagamaan dan sering mendalami perkara tersebut.
Realiti
Begitu juga bagi peminat-peminat genre puisi, sudah pasti buku-buku puisi lebih mendominasi rak buku mereka berbanding buku-buku genre lain. Bagaimana pula dalam konteks era kepengarangan digital?
Adakah era kepengarangan digital menyebabkan di dalam rumah tiada langsung naskhah-naskhah buku bercetak?
Perkara ini juga wajar direnungkan. Tidak guna untuk menegakkan benang yang basah kerana bagi individu yang mencintai kegiatan pembacaan sudah pasti akan ada bahan bacaan bercetak di rumah masing-masing.
Kepuasannya berbeza untuk membaca bahan bacaan melalui pelantar digital berbanding naskhah bercetak.
Dalam keghairahan kita bercakap tentang isu rak buku ini, kita seolah-olah terlupa dengan realiti semasa negara yang menyaksikan semakin banyak kedai buku dan syarikat penerbitan gulung tikar dan ditutup.
Ini menimbulkan riak yang canggung kerana berlakunya pertentangan antara topik diskusi dengan realiti. Hakikatnya, roh akademia dalam kalangan rakyat Malaysia sememangnya membimbangkan.
Generasi baharu lebih menggemari hedonisme dan hiburan berasaskan digital berbanding pembacaan dalam konteks ilmiah. Implikasinya, penularan infodemik berasaskan bahan-bahan picisan daripada media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter lebih dipercayai berbanding bahan-bahan bacaan yang lebih memberikan kesahihan.
Kajian empirikal membuktikan bahawa kualiti hidup berkadar secara langsung dengan bilangan buku yang dibaca.
Secara purata golongan yang membaca sebuah buku seminggu atau 50 buku setahun didapati mempunyai taraf kualiti kehidupan yang tinggi.
Sebaliknya, golongan yang hanya membaca majalah atau surat khabar dan kurang membaca secara amnya dilaporkan mempunyai kualiti kehidupan yang rendah. Revolusi ilmu melalui pembacaan ialah kaedah terpantas untuk membentuk bangsa pembaca.
Perkembangan budaya sosial dalam masyarakat lazimnya memberikan dampak kepada perkembangan sastera dan aktiviti kepengarangan.
Dalam lontaran di media sosial berkaitan untuk apa seseorang itu menulis juga banyak memperoleh pelbagai jawapan. Ada yang menulis kerana minat, mengisi masa lapang, wahana luahan perasaan, sumber pendapatan, dan tidak kurang juga untuk mencari populariti. Waima apa jua sebab sekalipun untuk menulis, pengarang mahupun seorang penulis sering kali juga merupakan penggemar aktiviti perbukuan.
Dr. Nyoman Kutha dalam Sastra dan Cultural Studies (2005) menganggapi kebudayaan berperanan mengolah persekitaran melalui kemampuan akal, teknologi termasuk ekonomi dan politik manakala sastera mengolah persekitaran menerusi kemampuan menulis atau ‘dunia dalam kata’.
Merealisasikan bangsa pembaca sebagai wajah masyarakat tentunya menjadi cabaran besar dalam membentuk imej negara sebagai Kota Rausyanfikir.
Jika dinilai dari segi angka, sejumlah lebih 300 acara dalam tempoh 365 hari pelaksanaan KLWBC 2020 seolah-olah memperlihatkan Kota Kuala Lumpur benar-benar dilanda tsunami atau ledakan acara.
Muluk-muluk kita membayangkan betapa meriahnya setiap hari dalam tempoh ini yang tidak berlalu tanpa sebarang aktiviti melibatkan acara perbukuan dan pembacaan.
Yang merisaukan adakah impian ini hanya sekadar dongengan indah di pentas penglipur lara.
Adakah masyarakat negara kita sudah bersedia untuk membangunkan Kota Rausyanfikir sebagai bangsa pembaca atau masih terperangkap dalam utopia selesa yang masih cuak dan culas untuk menjadikan buku sebagai teman setia?
Bangsa pembaca bukan sekadar dilihat dalam cakupan susun atur dan kedapatan rak buku di rumah semata-mata namun perlu dilihat dalam konteks horizon yang lebih berparameter besar dan menyeluruh.
Tidak sekadar di rumah, namun memenuhi segenap lorong dan ceruk pelosok negara.
* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca