APABILA negara dilanda wabak Covid-19 sejak tiga bulan lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sahaja mencuri tumpuan malah mula menjadi wajah kesayangan rakyat Malaysia.
Kemunculan beliau untuk menyampaikan laporan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sidang media harian secara langsung pada jam 2 petang bagaikan dinanti-nantikan.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu keperitan yang terpaksa dilalui Ismail Sabri sehinggakan beliau hampir tiada masa untuk diri sendiri kerana tumpuannya semata-mata mahu memerangi virus maut tersebut.
Dalam wawancara khas untuk Sinar Ahad bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa serta wartawan Mohd Ridzuan Abu Hassan dan Raiham Mohd Sanusi, Ismail Sabri berkongsi rutinnya yang dianggap paling mencabar dalam kerjayanya sebagai menteri sejak 12 tahun lalu.
SINAR AHAD: Apakah perbezaan yang Datuk Seri rasakan antara 100 hari pertama sebagai menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) dan 100 hari pertama menjadi menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN)?
ISMAIL SABRI: Tempoh 100 hari pertama saya bergelar menteri adalah semasa saya menjadi Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2008. Waktu itu kali pertama saya jadi menteri. Saya memang tak pernah berada dalam Kabinet, tak pernah jadi Setiausaha Parlimen dan tak pernah jadi Timbalan Menteri.
Apabila dilantik terus menjadi menteri. Jadi mestilah pengalaman itu berbeza dengan sekarang. Pertama kali itu agak berdebar jugalah sebab kita tak tahu apa perlu dibuat.
Yang berbezanya waktu itu saya boleh terus mulakan kerja di kementerian, ada taklimat yang diberikan supaya saya faham tentang kementerian.
Kali ini 100 hari (pada Rabu lalu) menjadi Menteri Pertahanan (dalam kerajaan Perikatan Nasional) sepatutnya lebih mudah sebab saya pernah terajui empat kementerian sebelum ini.
Tapi disebabkan PKP dan wabak Covid-19, masa saya dengan kementerian sudah tidak ada. Dari jam 9 pagi sampai 3 petang, saya ada di sini (bangunan Perdana Putra, Putrajaya) setiap hari.
Jadi waktu saya dengan kementerian cuma ada dua atau tiga jam sehari. Proses untuk saya mengetahui lebih lanjut tentang Kementerian Pertahanan dari segi tugas, aktiviti, peranan dan sebagainya sudah berkurangan.
Misalnya, sampai sekarang ada beberapa jabatan atau bahagian dalam kementerian yang masih menunggu giliran untuk memberi taklimat kepada saya tentang bahagian mereka.
Kalau dulu mungkin sepanjang tempoh dua minggu pertama sahaja, saya habis diberikan penerangan mengenai kementerian.
Adakah menjadi menteri pada zaman wabak Covid-19 sekarang lebih mudah atau lebih mencabar berbanding pengalaman lepas?
Tentu sahaja sekarang lebih mencabar sebab dulu kita fokus satu hala sahaja iaitu kementerian. Sekarang, saya fokus pelbagai.
Nak uruskan satu kementerian mungkin senang, tetapi sekarang seolah-olah saya kena uruskan 20 kementerian. Saya perlu mengkoordinasi setiap program, aktiviti dan dasar di setiap kementerian itu yang ada kaitan dengan Covid-19.
Apa yang lebih mencabar, Covid-19 ialah wabak yang belum pernah berlaku. Kalau benda dah berlaku, kita boleh tengok apa yang pernah dilakukan sebelum ini dan kita hanya ikut dengan buat sedikit penambahbaikan.
Tetapi Covid-19 ini tidak pernah berlaku. Negara lain di dunia pun tak ada yang boleh dijadikan contoh.
Jadi kita terpaksa buat apa yang kita rasakan baik dan bagus untuk rakyat. Kadang-kadang mungkin salah, kita tidak tahu tapi kita buat keputusan berdasarkan mesyuarat harian.
Dari segi cabaran, memang sekarang jauh lebih besar sebab dalam masa yang sama, saya juga Menteri Pertahanan.
Sebagai contoh, walaupun Kementerian Pendidikan bukan di bawah saya tapi isu yang melibatkan persekolahan seperti bila dibuka dan apa prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai kena dibincang secara bersama.
Kalau dahulu, saya fikir kementerian saya sahaja tetapi sekarang ini kita kena fikir juga hal-hal yang melibatkan negara secara keseluruhan.
Dalam minggu pertama pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional, apakah isu-isu paling penting yang dibincangkan?
Pada waktu itu sudah ada penularan Covid-19, cuma tidak ada kawalan pergerakan. Waktu zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah ada kes Covid-19 di Wuhan, China.
Saya sebagai ahli Parlimen pembangkang ketika itu sudah mendesak kerajaan menghentikan kedatangan pelancong China kerana Covid-19 sudah menular.
Bila kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibentuk, fokus kita waktu itu adalah kepada banyak perkara.
Pertama tentang Covid-19, bagaimana cara nak menghadapi pandemik ini. Kedua, kita bincang soal ekonomi yang kita jangka merudum terutamanya bila kita umumkan PKP.
Kita bayangkan, ramai rakyat yang bergantung kepada pendapatan harian khususnya peniaga kecil-kecilan, jual goreng pisang dan cekodok seperti Mak Cik Kiah, mereka tidak boleh berniaga.
Kita pun tahu kalau industri ditutup tentu sahaja banyak syarikat yang akan alami kerugian dan akhirnya pembua-ngan pekerja berlaku. Jadi pada peringkat awal, fokus kerajaan adalah kepada perkara yang berkaitan dengan Covid-19 dan perkara berkaitan.
Kita langsung tidak bincang pasal politik walaupun ada pihak lain sibuk bincang hal politik.
Sejak 18 Mac lalu setiap hari Datuk Seri muncul di kaca televisyen pada sidang akhbar harian Covid-19 untuk memberi maklumat terkini. Jadi rakyat ingin tahu apakah yang berlaku di belakang tabir sebelum Datuk Seri tampil untuk memberikan sidang akhbar?
Setiap hari jam 9 pagi saya akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP yang melibatkan lebih 20 kementerian dan
jabatan-jabatan kerajaan termasuklah Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Peguam Negara dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian.
Perbincangan waktu pagi itu memakan masa lebih kurang satu hingga tiga jam dari jam 9 pagi dan habis sekitar jam 12 tengah hari.
Tapi setiap Selasa dan Khamis akan ada mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Kalau hari biasa mesyuarat bersama menteri boleh berlanjutan sampai jam 12 tengah hari tapi pada Selasa dan Khamis disebabkan ada mesyuarat MKN jam 11.30 pagi, kita habiskan menyuarat bersama menteri sekitar jam 11.15 pagi.
Dalam mesyuarat MKN, kita beri penerangan tentang setiap keputusan dalam mesyuarat menteri-menteri. Selepas itu pada jam 2 petang diadakan pula sidang media laporan harian saya.
Sebelum jam 2 petang itu saya kena buat persediaan dahulu untuk sidang media itu. Saya akan duduk berbincang bersama Setiausaha Akhbar saya dan pegawai-pegawai strategi komunikasi War Room Pejabat Perdana Menteri.
Perkara yang saya nak bentangkan itu, pegawai saya akan siapkan dan kita akan bincangkan terutama tentang soalan-soalan yang mungkin ditanya oleh petugas media semasa sidang akhbar. Kita akan buat jangkaan-jangkaan soalan sama seperti (soalan ramalan) peperiksaan.
Jangkaan soalan itulah yang paling menakutkan sebab sidang media itu disiarkan secara langsung, ia bukan rakaman.
Bagaimana Datuk Seri menggambarkan kesibukan urusan harian Datuk Seri sejak tiga bulan lepas?
Sehingga tiada masa untuk diri sendiri. Itulah gambarannya. Bukan tiada masa untuk keluarga, kawan-kawan sahaja tapi tiada masa untuk diri saya sendiri.
Saya tak boleh melayan kehendak saya waktu itu. Semuanya terlalu terikat dengan Covid-19, PKP dan sebagainya.
Dalam salah satu sidang akhbar Datuk Seri, Datuk Seri memberitahu bahawa Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah daripada lima negara dunia yang dianggap terbaik dalam menangani ancaman Covid-19. Bagaimanakah kedudukan itu dapat dicapai?
Ia adalah hasil daripada tindakan kita secara bersama dan bersepadu. Kementerian Kesihatan sangat tepat dalam strategi mereka seperti melakukan kuarantin dan saringan berfokus.
Begitu juga kawalan pergerakan yang sangat ketat demi memutuskan rantaian wabak.
PKP ini saya sifatkan langkah berani daripada Perdana Menteri sebab perkara ini boleh menjadikan beliau tidak popular.
Kerajaan akan jadi tidak popular sebab sekat pergerakan orang. Kita tahu di Malaysia, jam 11 malam orang masih keluar rumah cari teh tarik.
Itu dah jadi budaya kita. Malah, waktu Subuh pun kita masih lagi nak pergi minum kopi, makan roti canai dan nasi lemak.
Tapi (di bawah PKP) kita buat keputusan yang besar, kita sekat pergerakan orang. Namun, itulah salah satu punca kejayaan kita. Kita sekat sempadan negara, tak boleh orang luar masuk dan rakyat kita pun tak boleh keluar.
Kita buat total lockdown dari segi kawasan sempadan negara.
Perkara paling penting adalah kerjasama rakyat. Apabila rakyat bekerjasama dengan kerajaan, itulah saya rasa ciri atau prasyarat yang membolehkan kita berjaya menghadapi Covid-19 seperti sekarang.
Sesetengah negara dunia buat juga kawalan pergerakan tetapi rakyat mereka adakan demonstrasi menentang kerajaan. Mereka tak peduli dan tetap keluar, malah pergi ke pantai dan buat konsert hiburan.
Tetapi di negara kita, rakyat akur dengan apa yang dibuat oleh kerajaan.
Tiga perkara ini memainkan peranan. Pertama, strategi kesihatan, kedua, kawalan pergerakan dan ketiga iaitu yang paling penting adalah penerimaan dan sokongan rakyat kepada langkah kerajaan.
Itulah yang akhirnya menyebabkan kita berjaya menjadi antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal Covid-19.
Apakah hala tuju Kementerian Pertahanan yang Datuk Seri terajui sekarang?
Pertama, kita akan terus memperkasakan sistem pertahanan kita. Keduanya, dari segi kebajikan anggota dan veteran. Saya fokus kepada perumahan untuk memastikan perumahan anggota ini dapat diselesaikan.
Banyak lagi, puluhan ribu lagi (rumah) yang diperlukan.
Pesara tentera pun diberikan fokus sama ada berpencen atau tidak berpencen. Saya memberikan fokus terhadap industri pertahanan.
Kita sebenarnya mampu menjadi salah sebuah negara yang mengeluarkan aset-aset untuk pertahanan.
Setakat ini ada, bukan tidak ada syarikat yang terlibat dengan pengeluaran aset untuk tentera darat dan laut.
Tetapi saya nak lebih memberikan tumpuan kepada industri pertahanan. Banyak perkara yang akan difikirkan.
Klik di sini untuk terus membaca