PEMENANG Anugerah Keamanan Nobel, Malala Yousafzai yang berpindah ke Britain selepas ditembak kerana berkempen untuk golongan perempuan mendapatkan hak pendidikan di Pakistan menggambarkan kegembiraannya pada Jumaat lalu kerana berjaya... Klik di sini untuk terus membaca

PEMENANG Anugerah Keamanan Nobel, Malala Yousafzai yang berpindah ke Britain selepas ditembak kerana berkempen untuk golongan perempuan mendapatkan hak pendidikan di Pakistan menggambarkan kegembiraannya pada Jumaat lalu kerana berjaya menamatkan pengajian dari Universiti Oxford.

Kejayaan itu berlaku selepas lapan tahun bas sekolah yang dinaikinya diserang oleh anggota-anggota Taliban di Lembah Sawt.

Gadis berusia 22 tahun itu menyiarkan gambar-gambarnya di Twiter tentang kejayaannya lulus di universiti tersebut melalui laman sosial Twitter.

"Sukar untuk menyuarakan kejayaan saya dan perasaan terima kasih saya selepas saya menamatkan Ijazah Falsafah, Politik dan Ekonomi di Oxford.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku pada masa hadapan. Buat masa ini (masa saya akan dihabiskan dengan menonton) Netflix, membaca dan tidur," kongsinya.

Gambar-gambar di Twitter menunjukkan badan Malala dipenuhi dengan buih sabun dan kertas berwarna-warni yang merupakan tradisi pelajar, menikmati kek dengan keluarganya dan tertera hiasan yang tertulis dengan ayat 'Selamat Graduasi Malala'.

Malala Yousafzai (tengah) meraikan kejayaannya menamatkan pengajian di Universiti Oxford bersama anggota keluarganya di Birmingham, England pada 19 Jun lalu. - Foto Instagram

Malala buat pertama kalinya menjadi terkenal ketika berumur 11 tahun melalui sebuah blog untuk badan penyiaran BBC berbahasa Urdu yang menceritakan kehidupannya di bawah pemerintahan Taliban di Swat.

Dia sebelum ini ditembak pada bahagian kepala oleh seorang penembak Taliban pada Oktober 2012.

Selepas diterbangkan ke Britain untuk menyelamatkan nyawanya melalui rawatan perubatan, keluarganya kemudian menetap di Birmingham, tengah England.

Malala berada di sebuah sekolah pada tahun 2014 apabila mendengar dia memenangi Anugerah Nobel Keamanan bersama aktivis India, Kailash Satyarthi.

Kedua-duanya memenangi anugerah berprestij itu kerana perjuangan mereka menentang penindasan kanak-kanak dan orang muda bagi mendapatkan hak pendidikan untuk semua kanak-kanak serta gadis.

Menurut agensi berita AFP, sebagai penerima termuda anugerah tersebut, dia masih meneruskan hak untuk bercakap tentang kepentingan pendidikan terhadap kanak-kanak dan gadis-gadis.

Portal berita Mailonline pada 19 Jun lalu, melaporkan dia ketika ini tidak bekerja tetapi akan bekerja sepenuh masa dengan pertubuhan kebajikan Dana Malala.

Dia akan bekerja dengan dana itu bagi membantu lebih ramai gadis dan kanak-kanak mendapat peluang pendidikan di seluruh dunia.

Sementara itu, ribuan orang yang membalas Twitter Malala termasuk bekas pelajar Universiti Oxford dan penulis, Philip Pullman yang mengucapkan: "Tahniah."

Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa), Anne McClain turut menghantar ucapan tahniah kepada Malala.

"Tahniah pada hari graduasi @Malala!" kata McClain yang kini belajar di England semasa membuat hantaran di Twitter.

"Bagi ramai orang, pendidikan tinggi adalah permulaan perkara yang hebat.

"Bagi anda, perkara-perkara yang hebat datang sebelum ini dan saya boleh bayangkan yang lebih baik akan menyusul. Dunia bertuah mempunyai anda," tambahnya.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan Malala sebagai remaja paling terkenal di dunia dalam laporan Decade in Review pada tahun 2019.

Malala juga dikenali sebagai seorang yang mengetengahkan kekejaman perbuatan Taliban.

Dia turut mencetuskan kebimbangan tentang isu-isu yang berlaku di India dan Pakistan.

Gadis itu juga menjelaskan kenapa dia sanggup berjuang untuk ketidakadilan sosial.

"Apabila kita bercakap tentang masa depan India dan Pakistan, kita perlu membuat pelaburan ke atas gadis-gadis kerana mereka adalah masa depan (kita).

"Bagaimana kita mahu menjadikan masa depan kita lebih baik dan cemerlang apabila kita mengabaikan berjuta-juta gadis tidak diberikan peluang pendidikan?

"Apabila kita mendidik gadis-gadis, kami tidak hanya mendidik mereka secara individu tetapi kami juga menjadikan mereka lebih kuat dan memberikan peluang kepada mereka untuk mencari pendapatan untuk diri mereka sendiri," katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Sedunia sebelum ini.

Malala Yousafzai gembira selepas lulus dari Universiti Oxford, England. - Foto Instagram

Malala berusia 15 tahun apabila dia terselamat dalam percubaan membunuh oleh seorang anggota Taliban.

Sejak itu, semua perkara sudah berubah.

Aktivis Pakistan itu meneruskan kehidupan bagi memberitahu dunia tentang kisahnya setelah memenangi Anugerah Nobel Keamanan pada tahun 2014.

Semasa tinggal di Pakistan, serangan Taliban tidak menghalang semangat perjuangannnya.

Kini, dia merupakan pembela pendidikan untuk gadis dan kanak-kanak perempuan.

Sebagai pengasas bersama Dana Malala, dia bersemangat tinggi untuk meningkatkan pelaburan terhadap pendidikan gadis-gadis dan kanak-kanak di seluruh dunia.

Dia yang juga terlibat dalam inisiatif Gulmakai Network, blog Malala menentang rejim Taliban dan menjuarai bidang pendidikan untuk gadis-gadis dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.

Nama Gulmakai Network itu adalah berdasarkan nama pena Malala.

Buku riyawat hidupnya adalah berjudul Gul Makai.

Ketika ini, dia pernah menggondol beberapa anugerah untuk perjuangan ke atas gadis-gadis dan kanak-kanak antaranya Order of the Smile dan Philadelphia Liberty. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca