SHAH ALAM - Satu kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dikesan menawarkan perkhidmatan mereka menerusi laman Facebook dengan bayaran sebanyak RM1,600 hingga RM3,000 bagi seorang individu yang diseludup.
Kegiatan itu dilakukan oleh dua individu dengan menawarkan perkhidmatan menghantar PATI di kawasan Johor, Batam dan Surabaya.
Menerusi akaun Facebook terbabit, individu itu turut memuat naik gambar dan video rakaman kejayaan mereka membawa masuk dan keluar PATI dengan menggunakan laluan darat dan udara.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman tersebut, caj sebanyak RM1,600 dikenakan kepada setiap PATI bagi proses penghantaran pulang melalui udara tidak termasuk harga tiket kapal terbang dan surat pengesahan ujian koronavirus (Covid-19).
Semua urusan hanya akan dilakukan sekiranya PATI membuat bayaran deposit sebanyak RM900 dan selepas selesai menempah tiket kapal terbang dan ujian Covid-19, ejen terbabit akan bertemu PATI di lapangan terbang untuk proses penerbangan.
Individu tersebut telah membuka satu akaun kumpulan di Facebook yang dikhususkan untuk urusan membawa masuk dan keluar pekerja asing dari Indonesia sama ada dengan cara yang sah ataupun haram.
Terdapat lebih 19,000 ahli menyertai kumpulan berkenaan yang menawarkan beberapa perkara, antaranya kemasukan bagi yang disenarai hitam, pintu belakang, urus visa tiga bulan, pulang tanpa disenarai hitam, urus dan cop pasport.
Sinar Harian telah menerima aduan berhubung kegiatan sindiket terbabit menerusi satu e-mel yang turut dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Jabatan Imigresen Malaysia.
Bagaimanapun, hasil carian di Facebook turut mendapati seorang pemilik akaun yang dikenali sebagai Teungku Nasir menafikan penglibatan dirinya dengan sindiket terbabit dan mendakwa gambar miliknya telah digunakan oleh ejen-ejen yang cuba untuk mencari mangsa.
"Saya Teungku Nasir ingin menyampaikan pengumuman untuk semua kalangan anggota grup pimpinan saya di Facebook.
"Nombor WhatsApp dan telefon saya cuma satu. Bila ada akaun menggunakan foto saya bukan nombor tersebut maka itulah ejen-ejen penipu yang mencari mangsa tenaga kerja Indonesia dan tenaga kerja wanita,” katanya menerusi satu hantaran pada 31 Mei lalu.
Lelaki itu turut mendakwa, akaun Facebooknya juga sudah diceroboh dan digunakan untuk tujuan menipu orang ramai terutama warga Indonesia.
Pada Khamis lalu, Polis Johor menahan 18 anggota penguat kuasa termasuk seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI di Johor sejak tahun 2017.
Penahanan 18 anggota penguat kuasa itu adalah susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI dalam operasi pada 4 Jun lalu.
Kesemua suspek membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri Johor, seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, dua anggota pangkat rendah bertugas di Bukit Aman dan sembilan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi.
Polis Johor turut menahan dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat.
Hasil siasatan awal mendapati 18 penguat kuasa berkenaan bersengkongkol dengan sindiket penyeludupan PATI dalam menyalurkan maklumat termasuk operasi yang dijalankan pihak berkuasa negara ini, sekali gus menjadi dalang kebocoran maklumat dalaman.
Suspek penguat kuasa dipercayai menerima imbuhan sangat lumayan iaitu sehingga RM10,000 bagi setiap transaksi penyeludupan PATI malah turut dikesan terbabit dalam penyeludupan dadah.
Klik di sini untuk terus membaca