ALOR SETAR - Tindakan menuding jari terhadap pihak berkuasa tidak akan menyelesaikan masalah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini, sebaliknya rakyat perlu membantu dengan menjadi mata dan telinga kerajaan.
Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan berkata, pihaknya percaya rakyat Malaysia bersedia membantu usaha kerajaan memburu dalang sindiket membawa masuk PATI dengan menyalurkan maklumat berkaitan.
Menurutnya, tindakan lebih tegas oleh pihak berkuasa diyakini mampu menyekat kesilapan lampau yang membolehkan PATI lolos memasuki negara.
"PPMM menyokong usaha kerajaan wujudkan National Task Force bagi memburu PATI di mana sahaja mereka bersembunyi.
"Jangan kita hanya salahkan penguat kuasa dan kerajaan. Kita juga harus bantu agar kes seumpama tidak berulang,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Che Hassan berkata, pihaknya juga berharap pengeluaran visa dan insentif bagi memudahkan kemasukan pelancong ke negara ini dipantau rapi oleh pihak berkuasa dengan nasihat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
"Walaupun kita mahu tingkatkan ekonomi negara melalui sektor pelancongan, kita harus waspada terhadap individu yang mengambil kesempatan menggunakan visa pelancong untuk bekerja dan tinggal dalam negara,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca