SEBERANG PERAI - Seorang pekerja kilang mengambil keputusan berhenti kerja bagi menumpukan kerjayanya sebagai badut sepenuh masa yang turut memberi lebih ruang kepadanya melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan.
Selesa dengan kehidupannya ketika ini, Yusmanizam Hasan, 34, yang menetap di Seberang Perai berkata, pekerjaannya itu terhenti seketika sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu sehingga mendorongnya untuk membuka akaun YouTube sendiri iaitu 'Yuyu balloons world'.
Menurutnya, keputusan untuk memiliki saluran YouTubenya bertujuan mengajar teknik buat lipatan belon sambil menderma kepada golongan memerlukan.
"Bersedekah tidak menjadikan kita miskin, malah sedekah rezeki akan melimpah ruah, Insya-ALLAH," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Yusmanizam menderma 50 bungkusan makanan lauk ayam masak hitam hasil air tangan isterinya kepada orang ramai termasuk penghantar makanan.
Katanya, dia senang dengan kehidupan sekarang walaupun menjadi badut kerana merasakan jiwanya cenderung untuk menghiburkan masyarakat termasuk kanak-kanak.
"Apabila bekerja sepenuh masa sebagai badut, saya banyak libatkan diri dengan aktiviti kebajikan, malah saya percaya bersedekah akan membuatkan kita lebih kaya, tidak kira kaya dari segi wang ringgit atau kesihatan.
"Jangan tunggu kaya untuk kita sedekah, kadang-kadang saya keluar pergi mana-mana saya sediakan duit dalam sampul, jumpa mana-mana budak atau orang susah, saya akan bersedekah," katanya
Yusmanizam berkata, sudah enam tahun dia berkecimpung dalam bidang tersebut dan dikenali ramai dengan nama 'Yuyu the clown' di sebelah utara.
Dalam pada itu, Yusmanizam dan isterinya, Nur Salimah Abd Halim, 32, yang sudah mendirikan rumah tangga selama sembilan tahun masih belum dikurniakan cahaya mata.
Bagaimanapun, pasangan tersebut memilih untuk mengambil anak angkat tiga tahun lalu iaitu Muhammad Harraz Rizqi yang kini berusia 3 tahun.
Terdahulu, kisah Yusmanizam tular di Facebook Penang Kini setelah seorang penghantar makanan berkongsi nota ringkas bersama makanan percuma diterimanya kelmarin.
Nota itu tertulis, "Jom sama-sama membantu golongan yang memerlukan, dengan hanya tekan like, share dan subscribe di saluran 'Yuyu balloons world' juga doakan kami mendapat zuriat ya."