SERUAN 115 orang ahli akademik yang masih lagi bertugas mahupun yang telah bersara pada 19 Jun lalu mesti dilihat di luar kotak politik kepartian dan dinilai secara objektif.
Saranan mereka jika diamati sebenarnya membawa mesej besar agar kecelaruan dan keinginan parti pemerintah dan parti pembangkang mencatur soal kepimpinan politik masing- masing ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Saranan mereka agar kestabilan politik negara dapat dipastikan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara dapat dipacu sebaik mungkin, apatah lagi cabaran besar sedang menanti pasca pandemik Covid-19 ini.
Dalam kehangatan desas-desus siapakah Perdana Menteri kesembilan pilihan Pakatan Harapan (PH) dan keterujaan menuju sidang Parlimen pada Julai nanti, seharusnya ia dipenuhi iltizam yang lebih besar dalam menghadapi kesan ekonomi, sosial dan pendidikan pasca-Covid-19.
Seruan ahli akademik tersebut ada benarnya. Itulah sebenarnya peranan ilmuan bukan sahaja memberi pendidikan, malah mencerahkan sosioekonomi − politik Malaysia.
Jika dilihat tajuk dalam sebuah akhbar portal, ia tidak menggambarkan tujuan sebenar seruan ilmuan tersebut.
Sebagai contoh, dalam teks asal, perenggan keempat dan kelima jelas membawa maksud apolitikal dengan seruan terhadap parti yang membentuk kerajaan dan pembangkang agar bersatu dan menjalankan tanggungjawab semak dan imbang terhadap perjalanan negara dalam waktu serba mencabar.
Jika tidak diselidik, ia telah memberi persepsi dan tanggapan salah terhadap seruan ahli akademik itu.
Mungkin ramai lagi ahli akademik yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan seruan tersebut tetapi dalam konteks yang luas, sekurang-kurangnya seruan dan saranan itu telah dijalankan.
Makanya, kerajaan perlu ambil perhatian dan pihak pembangkang harus memikir semula tindak-tanduk mereka.
Apa yang lebih utama sebenarnya ialah kestabilan politik merupakan faktor utama dalam merangka pelan tindakan bagi memacu negara dalam menghadapi cabaran getir pasca pandemik itu.
Bagi rakyat jelata, kelangsungan hidup adalah kehendak utama. Soal sumber ekonomi yang terjejas, bantuan yang boleh dimanfaatkan serta lonjakan kos sara hidup senantiasa menjadi sandaran.
Jika kerajaan yang ada pada hari ini membuktikan kemampuan mereka membuat yang terbaik bagi keselamatan kesihatan dan kelangsungan ekonomi rakyat, apakah alasan yang ada untuk dibolak-balikkan kepimpinan kerajaan yang sekarang.
Jika slogan menyelamatkan Malaysia sering menjadi asas, seharusnya tindak-tanduk parti politik menggambarkan perancangan mereka.
Rakyat jelata juga harus bersetuju dengan seruan ahli akademik yang mendesak penggugat kestabilan diberi hukuman setimpal, tidak kira parti atau fahaman ideologi.
Semua itu demi kestabilan sebuah negara merdeka.
Sejarah membuktikan bahawa propaganda yang menggoncang negara merupakan senjata utama dalam agenda negara penakluk dan rakyat jelata berterusan menjadi mangsa.
Kestabilan Malaysia bukan hanya bergantung kepada parti politik semata-mata tetapi kemakmuran ekonomi yang liberal, kesepaduan sosial berdasarkan perlembagaan dan kontrak sosial serta keutuhan pendidikan berlandaskan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah antara faktor lain dalam memacu negara. Kerana itulah, seruan ahli akademik tersebut perlu diberi perhatian.
Dalam perbezaan faham politik kepartian, persefahaman terhadap keteguhan negara adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.
Sikap patriotisme bukan hanya ada dalam diri ahli politik tetapi ia sebenarnya lebih banyak mencapah dalam diri rakyat jelata.
Pastinya, zaman pasca pandemik Covid-19 lebih mencabar berbanding zaman pasca BN. Malaysia perlukan kestabilan dan kestabilan itu sangat diperlukan sekarang!
* Dr Mohd Azmir Mohd Nizah ialah Ketua Program Pasca Siswazah Generik, Universiti Sains Islam Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca