KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang menafikan dakwaan menaja calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Ketua Komunikasi PKR Pahang, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, dakwaan itu langsung tidak berasas kerana Mohd Shukri bukan lagi ahli PKR sejak sekian lama.
Malah, katanya, Mohd Shukri juga sebelum ini pernah bertanding sebagai calon Bebas menentang calon PKR, Lee Chean Chung pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Kita harap seluruh pengundi di DUN Chini lebih berhati-hati sekiranya mendapat berita kononnya PKR merestui atau menaja mana-mana calon Bebas.
"Mana-mana calon Bebas yang menjaja nama PKR hendaklah ditolak oleh pengundi khususnya penyokong PKR sendiri kerana terbukti calon berkenaan tidak jujur terhadap pengundi,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Saya tidak ditaja: Mohd Shukri
Dakwaan ditaja PKR, calon Bebas lapor polis
Dua hari lalu timbul pelbagai berita di laman sosial Facebook mengenai dakwaan Mohd Shukri yang ditaja oleh PKR untuk bertanding pada PRK DUN Chini.
Bagaimanapun, perkara tersebut telah dinafikan oleh Mohd Shukri semalam.
Wan Fauzuldin menegaskan, walaupun PKR tidak meletakkan calon pada PRK DUN Chini, namun pihaknya mengambil sikap meraikan demokrasi dengan memberikan kebebasan kepada semua ahli dan penyokong PKR yang menjadi pengundi di DUN berkenaan untuk memilih wakil rakyat.
"Pengundi boleh fikirkan calon mana yang mempunyai inspirasi yang sama dengan perjuangan PKR atau Paka-tan Harapan (PH),” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca