[LAPORAN KHAS] KAJANG - Penghuni Penjara Kajang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara Malaysia bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19). Penghuni penjara, Rizal (bukan nama sebenar),... Klik di sini untuk terus membaca

[LAPORAN KHAS] KAJANG - Penghuni Penjara Kajang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara Malaysia bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Penghuni penjara, Rizal (bukan nama sebenar), 32, berkata, antara SOP yang dimaklumkan oleh pihak penjara ialah keluarga tidak dibenarkan melawat berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Penghuni boleh membuat panggilan telefon dengan menggunakan perkhidmatan telefon prabayar. Pembelian kad wartel ini boleh dibiayai oleh keluarga atau menggunakan sebahagian upah kerja banduan (bagi banduan yang bekerja) dengan kelulusan Pengarah Penjara,” katanya.

Rizal kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun atas kesalahan Seksyen 377C Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan seksual.

Menurutnya, aktiviti di penjara juga kini dihadkan seperti tiada latihan berkawad.

"Saya akan menggunakan masa terluang dengan bertadarus di dalam sel,” katanya.

Rizal berkata, pelbagai pengisian agama diperoleh di penjara tersebut membuatkan hatinya menjadi lebih tenang.

"Saya mempelajari banyak ilmu berkaitan agama sepanjang berada di penjara sehingga mampu khatam al-Quran pada bulan Ramadan lalu,” katanya.

Bagi seorang lagi penghuni penjara, Razlan (bukan nama sebenar), 60, berkata, dia bangga dan teruja apabila terpilih untuk menghasilkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi petugas barisan hadapan.

"Penghuni Penjara Kajang mampu menghasilkan sebanyak 400 PPE sehari,” katanya.

Dia sedia maklum negara kini sedang menghadapi wabak Covid-19.

Pesalah di Penjara Kajang menyiapkan lebih 400 pasang PPE setiap hari. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Saya mengikuti isu semasa ini daripada akhbar dan ada pegawai penjara yang memaklumkan kepada kami mengenai isu Covid-19 dari masa ke masa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Ramli (bukan nama sebenar), 29, berkata, dia amat merindui keluarga khususnya empat orang anaknya.

"Kali terakhir keluarga saya datang melawat adalah pada 2016. Saya berharap keluarga saya patuh kepada SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Menurutnya, hanya linangan air mata mengubat kerinduan terhadap keluarga tercinta pada 1 Syawal lalu.

"Walaupun saya cuba untuk tidak melayan emosi, tetapi hanya ALLAH yang tahu betapa syahdunya hati saya mengenang nasib beraya di sebalik sangkar besi,” katanya.

Ramli berkata, dalam penjara dia belajar ilmu agama, kemahiran dan sentiasa berdoa semoga dijauhi daripada segala perbuatan tidak baik selepas keluar penjara nanti,” katanya.

Ramli menjalani hukuman penjara selama 17 tahun atas kesalahan Seksyen 304 Kanun Keseksaan berkaitan kes pembunuhan.

"Saya menyesali perbuatan jenayah itu dan kini bertekad untuk berubah. Penjara Kajang memberi peluang kemahiran kepada penghuninya yang mahu belajar membuat roti dan kek.

"Saya memang minat dengan bengkel pastri dan menimba ilmu kemahiran dengan bantuan tenaga pengajar profesional dan pegawai penjara,” katanya yang berhasrat mahu membuka kedai kek apabila keluar dari penjara nanti.

Rizal ketika ditemubual wartawan Sinar Harian. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Klik di sini untuk terus membaca