PADA tahun lalu, diri saya diuji pada skala tidak terduga. Kesihatan saya turun naik. Hospital bagaikan rumah pertama saya. Kejutan demi kejutan berlaku hingga pada satu peringkat, saya terlalu lelah.
Tiada rasa cinta pada diri sendiri. Iman saya menjadi rapuh. Saya terlalu takut. Pada saat itu, saya mengandaikan diri seperti sudah ditimbun batu karang, ditelan keras gelombang. Namun, ALLAH itu MAHA PENYAYANG. DIA menyedarkan saya dengan menemukan saya dengan seorang wanita berusia 50-an yang berpangkat besar. Ketika itu kami ditempatkan berdua di wad sebuah hospital.
Pada awalnya, tiada interaksi perbualan antara kami. Saya dengannya dipisahkan oleh jendela kain. Tidak seperti saya, dalam sehari, dia kerap dikunjungi ramai doktor. Saya jadi keliru, namun tetap menahan diri daripada bertanya itu dan ini. Hari kelima, barulah saya terbuka hati menyapanya. Bukan apa, saya terkejut melihat dia berdiri kembali selepas beberapa hari terlantar.
Menariknya tentang wanita itu, dia tidak pernah kesepian. Sokongan moral yang diterima daripada suami, anak-anak dan saudara-mara cukup utuh. Saya senang mendengar hilai tawanya. Pada suatu pagi, seorang doktor barangkali telah memporak-perandakan emosinya. Doktor itu memberitahu dirinya menghidap kanser.
Meskipun tirai membatasi pandangan, kata-kata pakar itu dapat saya dengar secara jelas. Bilik wad tiba-tiba menjadi senyap sunyi. Tiada tangisan mahupun keluhan, hanya suara penjelasan daripada doktor lelaki itu.
Ikhtiar
Suaminya juga kelu seribu bahasa. Ironinya, tiga anaknya yang masing-masing pakar bius, pakar dermatologi dan pakar hematologi tidak memberikan respons. Mungkin melihat keadaan yang canggung itu, doktor tadi hanya berkata: "Kita masih boleh berikhtiar dan masih ada harapan, ini bukan penghujung jalan. Saya harap puan dan ahli keluarga berdoa agar semuanya akan okey.”
Saya percaya, ahli perniagaan itu waima ahli keluarganya kaku seketika. Sukar juga untuk saya mencongak inti fikiran wanita itu, namun dari hati terdalam, saya dapat menelah gejolak rasanya.
Melihat bebanan jiwanya, saya menangis. Saya merasakan diri seorang pendosa. Tuhan hanya ‘menjentik’ sedikit kesihatan, saya sudah cepat menyerah kalah. Wanita itu sebaliknya. Walau detak jantung boleh terhenti pada bila-bila masa, dia tetap beristiqamah dan tenang. Buktinya, dia masih berselera makan dan bergurau senda bersama anaknya.
Pada malam itu, dia memanggil saya. Wanita itu berkata, Tuhan sedang menduga dirinya dan saya. Meskipun dia tidak tahu sejauh mana mampu bernafas, dirinya perlu kekal bertawaduk. Namun, dia seboleh-bolehnya meminta Tuhan melumpuhkan ingatannya terhadap penyakit yang dideritainya demi memastikan dia terus bersemangat meniti usia tersisa.
Di sebalik jendela kain itu juga, dia mengajar saya untuk terus membahagiakan diri. Ujarnya lagi, apabila Tuhan sedang menguji, dia tidak mahu langkah saya jadi merapu.
Wanita itu mengingatkan saya betapa ajaibnya hidup ini. Katanya: "Walau dunia tak seindah syurga dan kadang-kadang hidup ini kita rasa tak adil, kembali muhasabah diri, tanya diri kenapa Tuhan menciptakan kita?”
Dia juga berkata, putus asa merupakan sifat tercela. Deraian air mata saya sulit dikawal apabila mendengar pernyataan daripada seseorang yang sedang menunggu kematian. Disebabkan dirinya, saya tersedar daripada ‘lamunan’ yang menyesatkan. Saya baru tahu diri terlalu alpa. Banyak cara ALLAH menunjukkan rasa sayang kepada hamba-NYA. Barangkali, untuk saya, DIA memberi saya rasa sakit demi kemaslahatan diri.
Jika ahli perniagaan itu berupaya meniti takdirnya dengan penuh ketakwaan, mengapa saya tidak? Pada awalnya, saya fikirkan saya menempuh dugaan paling sukar, rupa-rupanya ada orang lain lebih hebat diduga.
Selepas beberapa hari, saya pulang ke rumah tanpa berpaling melihat wajahnya. Saya hanya membawa kekuatannya. Jujur, saya tidak tahu apa terjadi kepadanya kini. Saya juga tidak mahu wanita itu tahu tentang pengakhiran kisah sedih saya. Pun demikian, dirinya sentiasa menjadi isi dalam doa saya.
* Mazlina Abdul Majid ialah Editor Content Lifestyle SinarPlus
Klik di sini untuk terus membaca