MESYUARAT Khas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini menjadi penentu sama ada kemungkinan barisan pengurusan sedia ada akan mengundurkan diri atau sebaliknya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, perkara itu antara agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut sekiranya gagal untuk mencari kata putus dan jalan penyelesaiaan membabitkan tunggakan hutang keseluruhan berjumlah RM7 juta.
"Dalam mesyuarat itu, kita akan buka pandangan kepada barisan exco kerana dalam kalangan kita ramai yang pakar, contohnya dalam perundangan dan korporat.
"Jika gagal mencari jalan penyelesaian, besar kemungkinan pengurusan sedia ada akan mengundur diri dan memberi laluan kepada orang lain untuk menyelamatkan KAFA.
"Selepas After Image (menarik diri), kami sedang berusaha mencari penaja baharu. Tetapi jika tidak ada penaja yang akan masuk, apa pula perancangan kita?
"Kita tidak boleh menunggu lebih lama lagi kerana kesannya nanti juga akan berlaku kepada KAFA itu sendiri,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.
Sebelum ini, KAFA berdepan masalah untuk menjelaskan tunggakan hutang pengurusan terdahulu yang mencecah RM7 juta meliputi tuntutan gaji pemain dan pegawai pasukan.
Dalam masa sama, Ahmad Muzakkir memberitahu, KAFA masih berusaha mencari cara untuk melunaskan tunggakan hutang tersebut dan tidak ‘lepas tangan’ sehingga tarikh akhir yang ditetapkan.
"Mengundurkan diri mungkin pilihan terakhir sebab kita juga akan melihat banyak kemungkinan terutama adakah ia satu tindakan bijak meninggalkan KAFA dalam situasi hutang banyak.
"Kita tidak mahu jadi seperti pengurusan terdahulu yang akhirnya akan menyebabkan KAFA terseksa dan kemungkinan berkubur. Namun, andai gagal, kita juga perlu mengundurkan diri dan memberikan laluan kepada orang lain untuk menyelamatkan KAFA.
"Jika ada yang nak ambil alih, kita akan telus menjelaskan hutang sebenar yang dihadapi KAFA dan mereka perlu ada sekurang-kurangnya RM7 juta bayar hutang, RM7 juta menguruskan pasukan dan RM7 juta sebagai backup,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca