SHAH ALAM - Kerajaan didakwa sudah mengeluarkan notis atau usul pertukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan timbalannya susulan sidang Parlimen akan kembali berlangsung bermula 13 Julai depan.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan sumber terdekat kerajaan bahawa notis menukar dua jawatan penting Dewan Rakyat yang kini disandang Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai Yang di-Pertua serta Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang di-Pertua, sudah dikeluarkan beberapa hari lalu.
Menurutnya, nasib Mohamad Ariff dari Parti Amanah Negara (Amanah), Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (PKR) dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming (DAP) kini bakal ditentukan menerusi perolehan undi di Parlimen.
"Setakat hari ini, saya diberitahu sumber bahawa kerajaan sudah mengeluarkan notis usul pertukaran jawatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat beberapa hari lalu.
"Berdasarkan perkara 4 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, jika mana-mana Speaker dan Timbalan Speaker hendak ditukar, perlu ada usul dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan dengan proses pertukaran mesti dibuat melalui penentuan undi di Parlimen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau diminta mengulas mengulas mengenai kedudukan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang masih digalas pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) walaupun kerajaan hari ini dipimpin Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyatakan isu pertukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat bakal menjadi penentu sama ada kerajaan PN bakal mengadakan pilihan raya mengejut dalam masa terdekat atau sebaliknya.
Saifuddin Nasution berkata, PH menerusi mesyuarat sekretariat pakatan itu mengambil serius usul pertukaran dua jawatan penting Dewan Rakyat itu dan bakal membincangkannya dalam masa terdekat.
"Ya, PH menerusi mesyuarat sekretariat pakatan itu akan membincangkannya dalam masa terdekat bersama beberapa isu lain termasuk pengukuhan kerjasama parti-parti dalam PH," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca