KEHADIRAN penonton bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka bermula September depan adalah antara perkara akan dikemukakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepada kerajaan dalam permohonan sesi latihan Fasa 2.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini yang menyatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL boleh menghantar permohonan itu disifatkan sebagai isyarat positif berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, kenyataan itu secara tidak langsung memberikan petanda positif untuk penonton dibenarkan hadir ke stadium bagi menyaksikan baki perlawanan Liga-M yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
"Perkara ini sememangnya dibincang dan akan disertakan dalam permohonan MFL untuk latihan Fasa 2 nanti di mana kemungkinannya di peringkat awal ini dibenarkan 10 peratus atau 15 peratus daripada kapasiti stadium berkenaan.
"Permohonan untuk membenarkan kemasukan penonton ke stadium ini juga diharapkan dapat membantu memberikan hasil pendapatan khususnya kepada pasukan bertanding yang mana seperti diketahui sememangnya memerlukan pendapatan sampingan dalam suasana sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini beberapa pengendali pasukan Liga-M seperti Mohd Nidzam Adzha Yusoff dan B Sathianathan menyuarakan hasrat masing-masing supaya penonton diberikan lampu hijau untuk hadir menyaksikan perlawanan di stadium.
Tambah Ab Ghani, MFL juga akan cuba memohon agar saingan Liga-M dibenarkan untuk bersambung lebih awal iaitu pada Ogos walaupun pada asalnya ia dirancang untuk diadakan semula pada September.
Katanya, permohonan berkenaan adalah berikutan kepada petunjuk aras pandemik Covid-19 di negara ini yang amat positif daripada segi pemulihannya dan menyaksikan beberapa aktiviti serta industri lain semakin diberikan kelonggaran untuk beroperasi.
"Memang kita rancang untuk saingan Liga-M bersambung pada September, tetapi kita akan mohon disambung lebih awal iaitu pada Ogos disebabkan petunjuk aras Covid-19 yang positif hinggakan kelonggaran operasi diberikan kepada beberapa aktiviti dan industri lain ketika ini.
"Apapun, kesemua penyokong/penonton tetap diingatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan selain mengamalkan tahap disiplin dan sikap kebertanggungjawaban yang tinggi tanpa sebarang kompromi," katanya.
Sementara itu, Ab Ghani menjelaskan masih terdapat dalam kalangan pasukan Liga-M yang belum menghantar permohonan bagi memulakan sesi latihan Fasa 1 kepada MFL melibatkan lapan pasukan Liga Super dan lapan pasukan Liga Premier.
Katanya, kesemua pasukan itu dimaklumkan masih dalam proses melengkapkan kesemua syarat wajib atau prosedur opeasi standard (SOP) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh MFL.
"Setakat ini, kita masih menunggu pengesahan doktor bagi ujian calitan (swab test) daripada Sabah manakala PJ City FC hanya diluluskan untuk menjalani latihan di gimnasium Lembaga Pengarah Kolej Islam Malaysia (LAKIM), Petaling Jaya.
"Selain itu, skuad PJ City juga masih belum mengenal pasti venue latihan sebenar mereka,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca