DI SEBALIK berita dukacita di atas kematian mengejutkan pelakon Bollywood, Sushant Singh Rajpu pada 14 Jun lalu ada kemarahan yang sedang memuncak.
Terdapat keinginan dalam kalangan peminat yang ingin mengetahui mengapa bintang muda berusia 34 tahun yang sedang membina nama dalam industri perfileman itu memutuskan untuk menamatkan riwayatnya sendiri di kediamannya di Mumbai, India.
Dalam banyak perdebatan sejak dua minggu lalu, banyak jari menunjuk ke arah cara-cara buruk industri perfileman Bollywood yang menyebabkan kemurungan Sushant sehingga menjadi punca kematiannya.
Berdasarkan laporan sebuah portal India, Times Now News, nepotisme dalam industri Bollywood yang dimonopoli oleh keluarga tertentu menjadi punca kemurungan Sushant.
Beberapa nama pelakon dan pengarah terkenal dikaitkan dengan kes malang itu termasuklah Salman Khan dan Karan Johar.
Times Now News turut melaporkan seorang pemimpin parti Kongres, Sanjay Nirupam mendakwa Sushant kehilangan tujuh filem yang telah ditandatanganinya akibat budaya monopoli dan sepak terajang dalam industri perfileman Bollywood.
"Dia kehilangan tujuh filem hanya dalam enam bulan. Mengapa? Kekejaman industri filem pada tingkat yang sangat berbeza. Dan kekejaman itu telah meragut nyawa seorang yang berbakat," ujar Nirupam.
Setakat semalam portal India Today melaporkan 27 individu telah dipanggil polis dalam usaha merungkai punca kematian aktor itu. Antara yang dipanggil termasuklah pengarah uji bakat syarikat produksi terkenal Bollywood, Yash Raj Films, Shanoo Sharma.
Kisah 'dalam kain' Bollywood
Dalam pada itu, portal The Print dalam ulasannya berhubung kes Sushant, melaporkan adalah tidak wajar meletakkan semua kesalahan di atas bahu pengarah Karan Johar semata-mata. Ini kerana budaya nepotisme dalam industri perfileman Bollywood telah berakar umbi sejak berdekad lamanya.
The Print melaporkan industri filem Bollywood sehingga kini masih banyak dikuasai keluarga yang muncul daripada tiga kumpulan penting iaitu pertamanya mereka yang memasuki industri filem dari Punjab pada tahun 1940-an dan 1950-an, keduanya pelakon, pengarah dan penulis yang merosot pada tahun 1970-an dan 1980-an serta ketiganya keturunan mereka selepas itu.
Oleh itu, maka tidak hairanlah untuk jangka masa yang cukup lama, Bollywood terus menjadi seolah-olah satu bisnes keluarga dan sangat bergantung pada hubungan peribadi.
Amalan kuno nepotisme dan bias itu telah berjalan dan berakar umbi sangat mendalam di Bollywood lapor The Print.
Ketika Bollywood memperoleh status 'industri' pada Mei 1998, ada kepercayaan bahawa keadaan akan berubah. Namun malangnya, senario tersebut tetap sama.
Diskriminasi terhadap dua jenis anak seni iaitu pelakon muda atau pengarah baharu yang datang daripada keluarga dengan sejarah familinya sebagai bintang filem Hindi atau bintang-bintang baharu yang datang ke Mumbai dari bandar-bandar lain.
Perbezaannya adalah golongan yang pertama akan diberi banyak peluang, sementara orang luar harus berjaya dengan projek awal mereka. Jika tidak, pintu yang sudah terbuka sedikit buat mereka mungkin akan menghempas kembali muka mereka dengan kuat.
Dalam ulasan portal The Print, Sushant ialah bintang yang berusaha dan berjalan mengikut rentak gendangnya sendiri. Namun malangnya, dia menghadapi pelbagai komplikasi apabila menjadi orang luar yang cuba terjun dalam industri filem Bollywood. Ia mungkin menjadi punca-punca itu yang memburukkan lagi kemurungannya.
Yang pasti, pemberontakan terakhirnya Sushant itu telah membuka jalan dan perdebatan hebat di Bollywood supaya industri yang bernilai lebih RM12.14 bilion setahun itu menjadi lebih baik, lebih selamat dan kurang beracun untuk wajah-wajah baharu yang menunggu peluang untuk bersinar.
Klik di sini untuk terus membaca