Merak Jalanan angkat topi dengan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang tidak gentar membongkar kegiatan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dadah di Johor.
Hampir setiap minggu mesti ada saja kes dibongkar beliau dan pasukannya. Lebih hebat sindiket yang ditumpaskan bukan sindiket kecil-kecilan atau kita panggil ikan bilis.
Beliau juga tidak takut untuk mendedahkan bahawa petualang sindiket bukanlah orang lain tetapi anggota keselamatan sendiri. Ada pegawai dan anggota polis, ada anggota tentera.
Perlindungan diberikan oleh segelintir penguat kuasa yang mudah gelap mata, bukanlah satu rahsia lagi. Cuma berani atau tidak bertindak kerana tindakan itu ibarat membuka pekung di dada.
Namun pada akhirnya, harga keberanian yang perlu dibayar seorang pegawai polis seperti Ayob tidak lain dan tidak bukan, sudah tentulah ancaman daripada penjahat.
Sama ada yang mengugut itu kenal atau tidak Ayob, Merak Jalanan tidak pasti. Sebab mengenali pegawai polis bernama Ayob Khan ini sejak bertahun-tahun lamanya sewaktu di Cawangan Khas Bukit Aman, beliau sudah lali dengan ugutan dan ancaman.
Bergelar Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman yang membongkar kegiatan-kegiatan terorisme, Ayob pernah diugut oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS) beberapa tahun lalu.
Namun, ugutan seperti itu pun tidak pernah memadamkan semangatnya apatah lagi menimbulkan rasa takut.
Bak kata Ayob kelmarin, "kalau saya takut tak guna saya jadi polis.”
Semoga lebih ramai pegawai dan anggota polis seberani Ayob untuk menegakkan undang-undang negara.
Klik di sini untuk terus membaca