Semua pihak yang terlibat dalam industri bola sepak negara perlu meletakkan usaha memajukan bakat pelapis sebagai aspek paling utama sekiranya mahu melihat Malaysia lebih berdaya saing dan kompetitif pada masa hadapan.
Dengan mengambil contoh isu penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, Pengarah Urusan Action Football Asia, Effendi Jagan Abdullah berkata, seharusnya proses perpindahan pemain berusia 18 tahun itu ke Belgium dipermudahkan tanpa sebarang perkara remeh-temeh yang timbul.
"Kita tidak tahu apa isi kandungan atau terma yang dibincangkan antara pengurusan KV Kortrijk dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenai perpindahan Luqman Hakim ke Belgium.
"Tetapi secara dokumentasinya, saya boleh katakan bahawa Luqman Hakim masih lagi milik Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) seperti dinyatakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar dalam laporan media.
"Cumanya apabila ahli perniagaan terkemuka negara yang juga pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan menawarkan platform kepada bakat muda negara untuk menyerlah di peringkat antarabangsa, sewajarnya kita permudahkan perjalanan Luqman dengan syarat-syarat yang berpatutan.
"Sebenarnya dalam kes Luqman Hakim ini mudah saja, kita perlulah memberikan sokongan kepada Luqman Hakim jika kita ingin melihat industri bola sepak khasnya skuad kebangsaan berkembang lebih maju pada masa hadpan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Sementara itu, Pengarah Reprise Sports, Hafizan Halim berkata, peluang yang ditawarkan Vincent kepada Luqman Hakim secara tidak langsung membuka dimensi baharu kepada bakat muda negara yang lain untuk beraksi di pentas Eropah pada masa akan datang.
"Saya berharap perbincangan antara KV Kortrijk dengan FAS dalam isu perpindahan Luqman Hakim akan berlangsung secara sihat, sekali gus menghasilkan keputusan positif bagi merealisasikan impian dia beraksi di Eropah.
"Kita semua tahu bahawa sememangnya impian Luqman Hakim adalah untuk beraksi di luar negara, apatah lagi dia telah mendapat restu ahli keluarganya, jadi sewajarnya kita permudahkan cita-citanya.
"Harus diingat Luqman Hakim ini akan menjadi pembakar semangat kepada pemain-pemain muda lain yang akan mengikuti jejak langkahnya. Juga harus diingatkan bahawa Luqman Hakim kini menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan yang mahu melihat dia beraksi di luar negara.
Menurut Hafizan, peluang yang diperoleh Luqman Hakim itu juga bakal membuka semula laluan kepada pemain negara untuk beraksi di Eropah - bukan sekadar mendalami ilmu tetapi mengembangkan karier masing-masing.
"Sebelum ini kita lihat pemain negara ASEAN lain seperti Thailand dan Vietnam sering mendapat peluang beraksi di Eropah. Jadi inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa produk kita juga mampu bersaing di sana,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca