PENGUMUMAN kerajaan membenarkan beberapa sektor perniagaan berkaitan sukan dibuka semula bermula 15 Jun lalu mendapat respons positif daripada semua pihak.
Apa tidaknya, selama tiga bulan peminat pelbagai jenis sukan tidak dapat menjalankan aktiviti kegemaran mereka.
Merak Jalanan pada 20 Jun lalu sempat bermain sukan ekstrem paintball bersama rakan sepasukan. Dengan normal baharu, agak kekok juga apabila setiap operator padang paintball cuma membenarkan jumlah pemain yang ditentukan berdasarkan keluasan kawasan.
Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, jumlah pemain yang datang cukup ramai. Sungguh meriah dan setiap pasukan boleh berlatih sparring dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat terutamanya daripada Division 1.
Sekarang amalan itu sudah tidak boleh. Setiap pasukan perlu tempah slot terlebih dahulu dan jika penuh, pasukan itu perlu tempah lagi untuk hujung minggu seterusnya.
Selain itu, pada sepanjang masa di tepi padang, setiap pemain perlu mengekalkan jarak masing-masing sejauh 1 meter. Pemain juga perlu mengikut beberapa prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak boleh berkongsi minuman dan barangan.
Dengan normal baharu ini, Merak Jalanan tetap bersyukur kerana kita semua sudah mula boleh menjalankan aktiviti seperti biasa walaupun dengan beberapa sekatan.
Selain paintball, Merak Jalanan juga sempat bermain skateboard di Taman Cabaran Putrajaya bersama anak-anak. Apa pun penjarakan sosial dan kawalan kendiri perlu diterapkan setiap masa.
Apa yang penting anak-anak gembira kerana itulah kali pertama mereka keluar dari taman perumahan sejak PKP dilaksanakan.
Apa yang menjadi perkara asing kepada kita sedikit demi sedikit menjadi perkara yang normal bagi kita. Semoga semuanya baik-baik sahaja.
Klik di sini untuk terus membaca