KEM latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) yang berakhir baru-baru ini bukan sahaja disifatkan sebagai pentas terbaik meningkat disiplin, malah mental barisan atlet badminton negara sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.
Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia berkata, biarpun pada awalnya sedikit janggal mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, namun dia mengakui pendekatan itu secara tidak langsung meningkatkan motivasi atlet selepas hampir tiga bulan tidak turun berlatih akibat Covid-19.
"Sepanjang sebulan mengikuti kem latihan RTT di ABM (Akademi Badminton Malaysia), Bukit Kiara, ia tidak memberi sebarang tekanan kepada atlet dan jurulatih, sebaliknya membentuk disiplin lebih tinggi dalam kalangan pemain.
"Pematuhan terhadap SOP disediakan pihak berwajib juga secara tidak langsung menjadikan mental atlet negara lebih kuat dan fokus terutamanya semasa menjalani sesi latihan," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, sepanjang sebulan menjalani latihan, da tidak mengalami sebarang tekanan atau bimbang biarpun terpaksa dikuarantin dan tidak boleh keluar daripada tempat dikhaskan bagi memutuskan rantaian Covid-19.
"Apa yang boleh kongsikan saya pada ketika itu adalah disiplin dalam kalangan pemain adalah tinggi, sekali gus mendidik kami semua menjadi lebih berdisiplin,” katanya.
Dalam pada itu, pemain berusia 23 tahun itu mengakui kem sedemikian juga secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan atlet negara dalam keluarga lebih besar.
"Sebenarnya kem latihan pusat seperti ini penting bagi mengembalikan semula semangat atlet dan jurulatih negara khasnya bagi mencipta kejayaan pada temasya di Jepun.
"Apabila kami dapat berkumpul dalam satu keluarga besar seperti ini, semangat kekeluargaan dalam kalangan atlet itu jadi kukuh dan jelas bagi merealisasikan misi negara.
"Ini penting apatah lagi ketika seseorang atlet itu menggalas cabaran negara yang mana mereka secara tidak langsung memerlukan sokongan padu dalam kalangan atlet sukan lain ketika bertanding dalam sesuatu acara,” katanya.
Barisan atlet program RTT sebelum ini mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan untuk kembali menjalani latihan mulai 1 Jun sehingga 30 Jun lalu.
Klik di sini untuk terus membaca