COLUMBIA - Para pengunjung di Pantai Myrtle, Carolina Selatan, Amerika Syarikat (AS) terkejut apabila melihat seekor burung gergasi terbang membawa seekor ikan besar yang dicengkam mengunakan kedua-dua kakinya, lapor portal berita MailOnline pada 2 Julai lalu.
Seorang penduduk Tennessee, Asley White melakukan rakaman video tentang kejadian itu dari tingkat 17 sebuah bangunan apartmen pada 22 Jun lalu.
Video itu kemudian dikongsi pihak Tracking Sharks di Twitter yang kemudian mencetuskan perdebatan ramai orang tentang jenis burung tersebut dan sama ada haiwan tersebut menyambar seekor ikan jerung atau tidak.
Ramai pengguna yang berhujah bahawa burung itu adalah dari jenis helang tiram manakala ada yang bergurau menyatakan ia ialah burung purba pterodactyl.
Seorang pengguna media sosial berkata: "Pastinya seekor burung helang tiram. Ia menggunakan banyak tenaga untuk menyambar ikan yang besar keluar dari air. Cara yang burung itu lakukan sangat mengagumkan."
Terdapat juga perdebatan berhubung apakah jenis ikan yang disambar burung tersebut dan sama ada ia ialah seekor ikan jerung.
Sebahagian pengguna laman sosial menyatakan ia ialah dogfish iaitu spesies ikan jerung kecil.
Beberapa pengguna lain menyatakan ikan itu ialah tuna, bandang atau bluefish.
Sebahagian pengguna lagi berkata, ikan itu dipercayai daripada jenis kembung berbanding seekor ikan jerung berdasarkan bentuk ekornya.
Bagaimanapun, seorang ketua meteorologi dengan syarikat media WPDE, Ed Piotrowski turut berkongsi rakaman video White menerusi laman Facebooknya dan berhujah ia ialah burung helang tiram menyambar seekor ikan kembung Sepanyol yang besar.
Menurut akhbar New York Post, pakar-pakar burung kemudian berkata, ikan tersebut bukannya jerung tetapi ia ialah ikan bandang yang panjangnya boleh mencecah 91 sentimeter dan mempunyai gigi tajam.
Menurut Jabatan Sumber Alam Carolina Selatan, helang tiram juga dikenali sebagai helang ikan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca