LUCKNOW - Seorang wanita yang bakal melangsungkan perkahwinan dan bapanya maut ditembak ketika meraikan majlis praperkahwinan di Uttar Pradesh, India baru-baru ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Anchal dan bapanya, Rajkumar ditembak dua hari sebelum perkahwinan itu berlangsung.
Menurut Ketua Polis, Akhilesh Narayan Sing berkata, Anchal meninggal dunia di tempat kejadian sementara bapanya disahkan maut di hospital.
Polis kini sedang memburu seorang suspek yang dipercayai merupakan bekas teman lelaki wanita terbabit.
Sebuah rakaman video menjadi tular di beberapa laman sosial menunjukkan mangsa sedang menari sebelum keadaan menjadi huru-hara dan kedengaran bunyi beberapa das tembakan dilepaskan.
Difahamkan, saudara lelaki mangsa turut mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Ketika kejadian, tertuduh yang dikenali sebagai Saagar Thakur bersama lima lagi lelaki tiba di kediaman gadis itu dan mula melepaskan tembakan ke arah anggota keluarga mangsa.
"Anchal dan dua anggota keluarganya terkena tembakan sementara yang lain sempat melarikan diri," katanya.
Menurut abang mangsa, suspek dikatakan ingin mengahwini adiknya tetapi lamarannya telah ditolak.
Sehingga kini, polis telah menahan dua lelaki yang merupakan rakan kepada suspek yang masih bebas. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca