TUGAS menyampaikan dakwah bukanlah sesuatu yang mudah namun cabaran untuk melaksanakannya merupakan suatu kenangan terindah. Nama Datuk Mohd Kazim Elias begitu sinonim dengan dunia dakwah bukan sahaja di negara ini malah di negara serantau.... Klik di sini untuk terus membaca
TUGAS menyampaikan dakwah bukanlah sesuatu yang mudah namun cabaran untuk melaksanakannya merupakan suatu kenangan terindah.

Nama Datuk Mohd Kazim Elias begitu sinonim dengan dunia dakwah bukan sahaja di negara ini malah di negara serantau.

Anak kelahiran Batu Kurau, Perak ini sudah mengharungi dunia dakwah selama lebih 30 tahun bermula sebagai guru agama biasa hinggalah menjadi pendakwah selebriti.

Menyingkap sejarah sebagai pendakwah, Mohd Kazim berkata, tugas sebagai penceramah buat pertama kali bermula pada tahun 1991 ketika beliau diminta menggantikan gurunya, Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor di pejabat kerajaan di Wisma Persekutuan Ipoh.

Bermula dari situ, cintanya terhadap dunia dakwah terus mekar dan tanpa henti berceramah sehingga ke hari ini.

Populariti Mohd Kazim dalam dunia dakwah tidak boleh disangkal apabila 'otai' dakwah itu boleh menarik ribuan khalayak dalam satu-satu masa.

Malah, kebanyakan ceramahnya diadakan di tempat terbuka dan di kawasan lapang seperti di padang bola sepak atau stadium.

Menurut Mohd Kazim, antara pengalaman yang menjentik hatinya adalah penerimaan luar biasa masyarakat Islam di luar negara khususnya di Singapura dan Brunei.

"Seingat saya, ceramah di Stadium Bedok, Singapura mencatat jumlah kehadiran dianggarkan seramai 40,000 orang.

"Saya juga pernah menyampaikan ceramah di Stadium Hassanal Bolkiah, Brunei dengan jumlah yang cukup besar," katanya kepada Sinar Ahad.

Antara ceramah Mohd Kazim di Brunei mendapat khalayak yang begitu ramai selain ceramah- ceramahnya di tempat lain. - Foto sumber YouTube

Pendakwah

Menurutnya, itu antara kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan dan merupakan khalayak paling ramai sepanjang 30 tahun bergelar pendakwah.

Di Malaysia pula, Mohd Kazim berkata, ceramah di Padang Perbandaran Tawau, Sabah merupakan yang teramai dengan jumlah hadirin seramai 30,000 orang pada tahun 2014.

Menurut beliau, menariknya di Sabah, orang ramai yang hadir bukan sahaja orang Islam malah bukan Islam turut datang mendengar ceramah.

"Saya pernah berceramah di Beaufort, Sabah di mana penganjurnya bukan Islam tetapi yang hadir terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Begitulah uniknya masyarakat di Sabah yang hidup begitu harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain. Mereka bersikap sangat terbuka," katanya.

Tambahnya, ceramah agama satu ketika dahulu menjadi fenomena dengan kehadiran orang ramai setanding malah mengatasi konsert-konsert hiburan.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan mampu menarik khalayak sebegitu ramai, Mohd Kazim menjelaskan pendekatan yang digunakan ketika menyampaikan ceramah itu menggunakan bahasa mudah difahami berserta dialek daerah atau negeri.

"Saya biasanya bawa isu-isu yang dekat dengan diri mereka, kisah-kisah yang biasa berlaku dalam masyarakat dan berdasarkan pengalaman saya bertemu dengan orang ramai.

"Sambil kita berjenaka, saya selitkan pelbagai nasihat dan panduan untuk pastikan mereka yang dengar ceramah dapat ilmu. Saya tak bawa isu-isu yang kontroversi seperti khilaf ulama dalam sesuatu perkara sebaliknya kita bantu selesaikan masalah bukan timbulkan masalah," katanya.

Mohd Kazim menunjukkan antara koleksi piring hitam miliknya yang masih disimpan.

Selain itu, Mohd Kazim berkata, beliau juga pernah mengadakan ceramah di Australia, Indonesia, Thailand, Mesir, Syria, Jordan, Jepun dan Vietnam.

Dalam pada itu, pengasas pondok pengajian moden, Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi ini berbangga kerana turut berjaya melahirkan pelapis pendakwah menerusi peranannya sebagai mudir dan pengetua dalam beberapa siri rancangan pencarian pendakwah beberapa stesen televisyen antaranya Da'i dan Pencetus Ummah.

Bercerita mengenai hobi pula, Mohd Kazim gemar mengumpul kereta mainan pelbagai model.

Katanya, kebanyakan model kereta tersebut dibeli sendiri dan ada juga yang dihadiahkan oleh peminat serta rakan-rakan.

Beliau turut memiliki beberapa barangan antik antaranya piring hitam dan radio lama.

Mohd Kazim menunjukkan salah satu kereta mainan kesayangan yang dikumpul sebagai hobi mengisi masa lapang.

PROFIL

Datuk Mohd Kazim Elias

Nama popular: Ustaz Kazim

Kerjaya: Penceramah bebas/ Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah

Umur: 47 tahun (1972)

Asal: Kampung Paya, Batu Kurau, Perak

Adik-beradik: Anak ketujuh daripada sembilan beradik

Pendidikan: Diploma Tahfiz al-Quran daripada Maahad Tahfiz al-Quran & Qiraat Masjid Negeri Perak

Anugerah: Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak 2015

Program TV:

Manisnya Cinta DUKE (Astro Oasis), Kalau Dah Jodoh (Astro Oasis), 30 Minit Ustaz Kazim Elias (TV Alhijrah), Apa Cerita Kome? (TV Alhijrah), Kopi Bersama Ustaz Kazim (TV9), Tanyalah Ustaz (TV9), Halaqah (TV9), In Person Datuk Ustaz Kazim Elias (TV3) dan Forum Perdana (TV1)

Klik di sini untuk terus membaca