LANGKAH menubuhkan Kabinet Bayangan atau ‘menteri bayangan’ dalam kalangan parti pembangkang bukan perkara asing, sebaliknya sudah menjadi amalan negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti United Kingdom sebagai alternatif... Klik di sini untuk terus membaca

LANGKAH menubuhkan Kabinet Bayangan atau ‘menteri bayangan’ dalam kalangan parti pembangkang bukan perkara asing, sebaliknya sudah menjadi amalan negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti United Kingdom sebagai alternatif kepada Kabinet kerajaan yang memerintah.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, amalan itu sudah lama dipraktikkan di negara Barat dan kaedah seperti itu membolehkan kerajaan dan pembangkang saling bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat dan negara.

Beliau berkata, menjadi kelaziman bagi pembangkang menyenaraikan ahli-ahli Parlimen dengan portfolio tertentu bagi membicarakan hal-hal berkaitan bidang pengkhususan yang ditetapkan. Menurutnya, parti pembangkang di Malaysia tidak terkecuali mengamalkan kaedah serupa untuk menjadi mata dan telinga semak dan imbang kerajaan dalam melaksanakan dasar negara.

"Itu adalah suatu praktis positif kerana memberikan persepsi kepada umum bahawa kerajaan dan pembangkang memainkan peranan serius dalam menentukan faedah pelaksanaan dasar kerajaan kepada rakyat dan negara."Dalam erti kata lain, pembangkang ialah pilihan alternatif kepada rakyat dan pengundi menilai kewibawaan dan pencapaian kedua-dua blok politik ini,” katanya mengulas mengenai kewujudan Kabinet Bayangan sebagai satu strategi politik parti pembangkang di Malaysia.

Kelmarin, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik Jurucakap Parlimen yang mempunyai portfolio bayangan kepada menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Seramai 36 daripada 38 ahli Parlimen PKR mempunyai kedudukan dalam pasukan itu dengan 19 ahli Parlimen sebagai jurucakap, sementara 17 lagi ahli Parlimen sebagai pembantu jurucakap kecuali Presiden parti dan seorang lagi pemimpin parti itu.

Pengecualian adalah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Pengerusi Majlis Penasihat parti itu.Bagaimanapun, PKR menafikan pasukan itu merupakan Kabinet Bayangan.

Mengulas lanjut, Dr Syed Agil berkata, senarai ahli Parlimen yang diamanahkan dan diwujudkan parti pembangkang akan bertindak di atas portfolio masing-masing bagi mengkritik dan menilai tindak-tanduk kerajaan.Beliau berkata, kaedah tersebut boleh dianggap sebagai amalan positif, namun bukanlah menggambarkan bahawa Kabinet Bayangan itu menerajui kerajaan sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Tindakan mengetengahkan ahli-ahli Parlimen seperti itu menunjukkan keprihatinan parti-parti pembangkang yang bersedia untuk mengkritik dan menilai semula program yang memberikan keuntungan kepada masyarakat, industri dan negara."Namun, ia bukan bermakna portfolio itu menggambarkan jawatan bakal digalas ahli Parlimen berkenaan tetapi lebih kepada bidang-bidang fokus yang diberi keutamaan selari dengan kewujudan kementerian pimpinan kerajaan,” katanya.

PertindihanDr Syed Agil bagaimanapun berkata, tindakan PKR menyenaraikan portfolio ahli-ahli Parlimen mengikut pengkhususan yang ditetapkan oleh kerajaan itu hanya membabitkan ahli Parlimen daripada PKR.

Menurutnya, portfolio bayangan itu tidak mengambil kira peranan parti-parti di bawah gabungan pembangkang termasuk Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Warisan Sabah (Warisan)."Keadaan sedemikian akan mewujudkan pertindihan portfolio dalam kalangan ahli Parlimen tersebut (pembangkang) sekiranya tiada perancangan khusus. "Pertindihan tugas itu sudah tentu akan memberikan kelemahan dari segi perancangan pengurusan kerajaan di antara parti-parti politik yang bergabung di bawah satu entiti.

"Hal itu boleh menyebabkan rakyat menjadi kurang berkeyakinan terhadap kemampuan parti-parti pembangkang dalam menyusun peranan dan tugas dalam bidang-bidang yang ditentukan,” katanya.Untuk rekod, pada September 2018, Barisan Nasional (BN) yang pertama kali menjadi pembangkang mengumumkan Kabinet Bayangan bagi menghadapi kerajaan PH.

Bagaimanapun, cabaran terbesar ketika BN menubuhkan Kabinet Bayangan itu ialah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu tidak mahu mengiktirafkannya.

Atas faktor tersebut, kebarangkalian portfolio bayangan PKR juga akan berdepan dengan halangan sama, malah mungkin lebih sukar kerana ia bukannya mewakili parti-parti pembangkang.Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, istilah Kabinet Bayangan mestilah mewakili parti-parti politik dalam PH dan bukan hanya daripada PKR sahaja.

Bagaimanapun, katanya, langkah PKR itu ada pro dan kontranya seperti dapat menjadikan tugas PKR sebagai pembangkang dengan lebih berkesan walaupun mengetahui langkah itu akan dipandang negatif.

"Mungkin PKR tidak sabar apabila melihat DAP dan Amanah menganggap Kabinet Bayangan itu sebagai bukan satu perkara yang serius bagi PH lalu PKR mewujudkan portfolio bayangan mereka,” katanya.

Ketika ini PKR dalam hubungannya dengan dua buah parti di bawah PH iaitu DAP dan Amanah kelihatan seperti berselisih pendapat berhubung soal calon Perdana Menteri gabungan parti pembangkang itu.

PKR menegaskan Anwar sebagai calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang, manakala DAP dan Amanah telah menyuarakan sokongan untuk calon alternatif seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terbaru, DAP dan Amanah dilihat memberikan sokongan terhadap Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang dicadangkan oleh Dr Mahathir untuk digandingkan dengan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Terdapat kepercayaan bahawa Dr Mahathir diperlukan untuk mendapatkan jumlah ahli Parlimen yang cukup untuk PH merebut kembali Putrajaya daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kuasa pada bulan Mac lalu.

Terdapat juga spekulasi mengatakan beberapa pemimpin PKR sedang mempertimbangkan kemungkinan parti itu bergerak secara sendirian sekiranya kebuntuan dalam soal pemilihan calon Perdana Menteri itu gagal diselesaikan.

Klik di sini untuk terus membaca