SHAH ALAM - Malaysia berisiko tinggi berdepan pencemaran udara atau jerebu pada bulan ini sehingga Ogos nanti jika kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera berulang seperti sebelum ini.
Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Fredolin Tangang berkata, pergerakan angin pada musim monsun barat daya ketika ini akan memburukkan lagi keadaan jika kebakaran hutan itu melibatkan kawasan yang luas.
Menurutnya, kebakaran hutan di kawasan terbabit pada 2015 pernah mengakibatkan negara ini dilanda jerebu teruk dan keadaan bertambah buruk apabila cuaca panas melampau akibat fenomena El Nino.
"Sebelum ini kalau ada kebakaran di Kalimantan atau Sumatera, sudah semestinya kita akan ada masalah.
"Tahap jerebu bergantung kepada keluasan kebakaran hutan. Lebih luas kebakaran lebih parah situasi jerebu. Tetapi kalau kebakaran di sebelah timur Kalimantan, kemungkinan Semenanjung tidak teruk terjejas,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Kata beliau, sebenarnya ramalan taburan hujan untuk Julai, Ogos dan September di Kalimantan serta Sumatera juga melebihi kadar biasa.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya kini memantau rapi situasi jerebu tempatan dan jerebu rentas sempadan.
Pemantauan titik panas dari Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 3 Julai 2020 menunjukkan tiga titik panas telah dikesan di Kalimantan dan 12 titik panas di Sumatera.
Khamis lalu, portal Borneo Post memetik berita agensi AFP yang melaporkan Ketua Mitigasi Bencana Kalimantan, Darliansyah berkata, pihaknya mengesan lebih 700 titik panas di wilayah Kalimantan sejak awal tahun lalu yang berisiko tinggi mencetuskan kebakaran.
Klik di sini untuk terus membaca