MERAK Jalanan tidak terkejut apabila bintang handalan China, Lin Dan mengumumkan dia bersara daripada arena badminton dunia. Pada usia yang sudah mencecah 36 tahun, Lin Dan wajib tinggalkan dunia badminton.
Dengan persaraan Lin Dan, maka berakhirlah legasi empat legenda dunia sejak dua dekad lalu. Bermula dengan persaraan jaguh Denmark, Peter Gade Christensen diikuti sensasi Indonesia, Taufik Hidayat dan jagoan Malaysia, Datuk Lee Chong Wei.
Biarpun keempat-empat bintang dunia itu kerap ‘bermusuhan’ di pentas pertandingan tetapi mereka tetap akrab bila di luar gelanggang. Tidak kira siapa lawan siapa, perseteruan mereka itu hanyalah di tengah gelanggang.
Secara peribadi, Merak Jalanan berpendapat, tiada siapa lagi dapat menyanggah fakta bahawa empat bintang dunia itu telah meninggalkan legasi mereka yang tersendiri sejak 20 tahun lalu.
Maka bukan sesuatu yang mengejutkan juga apabila Chong Wei sendiri ‘menangisi’ berita persaraan Lin Dan pada Sabtu lalu. Bagi Chong Wei, Lin Dan bukan sekadar ‘musuh’ di tengah gelanggang, malah lebih daripada itu.
Contoh paling diingati peminat sukan di Malaysia sudah pasti pertembungan Chong Wei-Lin Dan pada temasya Sukan Olimpik.
Memang wajar dilabel musuh tradisi, Lin Dan menjadi satu-satunya halangan terakhir buat Chong Wei meraih emas Olimpik pada edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London.
Biarpun berjaya membalas dendam ke atas Lin Dan pada aksi separuh akhir Olimpik 2016 di Brazil, Chong Wei sekali lagi terpaksa menerima hakikat emas Olimpik bukan menjadi miliknya apabila tumbang di tangan Cheng Long, seorang lagi jaguh dari China, di pentas final.
Sebagai peminat sukan badminton sejak di bangku sekolah lagi, Merak Jalanan hanya berharap ada lagi kelibat bintang handalan dunia kembali menggegar terutamanya pengganti wira Malaysia, Datuk Lee Chong Wei.
Klik di sini untuk terus membaca