SHAH ALAM - Pertukaran Speaker Dewan Rakyat adalah amalan biasa setiap kali berlakunya pertukaran kerajaan.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, amalan itu tidak boleh ditamatkan memandangkan ia adalah amalan yang terbaik kerana memberi peluang kepada kerajaan semasa ‘goverment of the day’ untuk membuat keputusan siapakah yang akan menjadi speaker di Parlimen.
"Ini merupakan kelebihan yang diberikan kepada kerajaan semasa untuk membuat pemilihan siapa yang mereka mahukan.
"Apa yang lebih penting sebenarnya adalah kesedaran dalam kalangan semua ahli Parlimen tentang tugas sebenar Speaker dalam memberi ruang kepada kedua-dua belah pihak untuk bercakap dan memberi usul pada sidang di Parlimen dan ini yang perlu diberi penekanan sebenarnya," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Nik Ahmad Kamal berkata, ahli Parlimen juga perlu tahu bahawa Speaker juga perlu memberikan mereka ruang untuk membentangkan usul-usul meminda undang-undang atau memperkenalkan rang undang-undang baharu dan sebagainya.
Katanya, sejak lebih 60 tahun lalu, Speaker tidak pernah membenarkan atau tidak ada ruang kepada seorang ahli Parlimen untuk membawa dan membentangkan ‘private members bills’ atau rang undang-undang persendirian walaupun ini adalah sebahagian daripada amalan-amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan.
"Ini bermaksud semua ahli yang berada di Parlimen itu perlu sedar dan mempertingkatkan kefahaman masing-masing bahawa betapa pentingnya ruang diberi kepada mereka.
"Jadi saya rasa kalau ada kesedaran berhubung perkara ini maka tidak timbul apa yang diperkatakan bahawa walaupun Speaker itu nampak non partisan tetapi akhirnya menjadi ‘yes man’ kepada kerajaan,” katanya.
Justeru, Dr Nik Ahmad Kamal berharap perkara itu perlu diperjuangkan dalam mewujudkan cara kerja yang baharu di Parlimen meskipun sudah ada jawatankuasa khas untuk melakukan reformasi, namun kejayaan masih belum dibuktikan.
Klik di sini untuk terus membaca