KELANTAN tetap menampilkan pemain terbaik termasuk awang import bagi membarisi skuad The Red Warriors (TRW) dalam kempen saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Shaari Mat... Klik di sini untuk terus membaca

KELANTAN tetap menampilkan pemain terbaik termasuk awang import bagi membarisi skuad The Red Warriors (TRW) dalam kempen saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Shaari Mat Husin berkata, pihaknya memulakan langkah untuk mencari penaja demi merealisasikan hasrat itu.

"Kita dah ada perancangan jangka panjang, masalahnya cuma dari segi kewangan. Jika (masalah kewangan) selesai, saya cukup yakin pasukan Kelantan mampu mengulangi kejayaan yang pernah dicapai sebelum ini.

"Jadi ketika ini Kafa sememangnya memerlukan dana untuk memperkuatkan lagi pasukan kita,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya semalam.

Mengulas mengenai tindakan Kafa menghentikan kutipan tabung ‘Selamatkan Bola Sepak Kelantan’, Shaari berkata, ia dibuat supaya tidak menimbulkan sebarang persepsi buruk dalam kalangan orang ramai.

"Kutipan tabung itu dihentikan dulu kerana kalau kami teruskan, nampak seperti kami mengemis pula. Ada juga suara-suara nakal yang bercakap mengenai kewujudan tabung berkenaan.

"Memang niat kita untuk bantu pasukan, tetapi ada suara-suara nakal yang kedengaran. Selepas ini, kami akan usaha acara lain dan untuk jangka panjang, kami memang dah ada perancangan,” katanya.

Berkenaan pertemuan dengan Reezal Merican, beliau memberitahu, Kafa menerima pandangan yang dikemukakan terutama idea bagi membantu kemelut dihadapi badan induk bola sepak Kelantan itu.

"Alhamdulillah, pertemuan ini satu pertemuan yang cukup positif apabila menteri memberikan pandangan kepada kita dan insya-ALLAH Kafa akan cuba memanfaatkan idea yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman optimis pihaknya akan menerima lesen kelab bagi membolehkan TRW beraksi dalam saingan Liga-M 2021.

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir pembayaran tunggakan gaji melibatkan beberapa bekas pemain tempatan Kelantan sehingga 31 Ogos ini.

"Sepatutnya tunggakan gaji itu dibayar mengikut jadual pembayaran yang ditetapkan, tetapi apabila timbul masalah Covid-19 baru-baru ini, ia tergendala dan kini kami nak mulakan balik (pembayaran).

"Insya-ALLAH, kami jangka dapat menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji pemain terlibat sebelum pasukan Kelantan kembali memulakan latihan yang dijadualkan 1 Ogos ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca