PERBINCANGAN tentang krisis yang melanda Lebanon dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kini menemui jalan buntu apabila para pemimpinnya enggan untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi.
Justeru, adakah Lebanon menuju ke arah kehancuran tanpa pakej penyelamat yang bernilai berjuta-juta bilion?
Selama berbulan-bulan, negara di kawasan Mediterranean itu telah bergelut dengan krisis ekonomi sejak Perang Saudara meletus pada tahun 1975 hingga 1990 lagi.
Dalam peperangan itu, puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal selain sebahagian gaji mereka. Tidak ketinggalan kekurangan mata wang dolar pula telah mencetuskan kenaikan inflasi dengan pantas.
Selepas negara itu tidak dapat membayar hutang pada Mac lalu, kerajaan berjanji akan melakukan pembaharuan dan memulakan perbincangan dengan IMF bagi mendapatkan bantuan bernilai berbilion-bilion dolar pada Mei lalu.
Bagaimanapun, selepas 16 kali bermesyuarat, perundingan tentang pemberian bantuan itu kemudian terhenti.
"IMF sudah meninggalkan meja rundingan dan perbincangan pula telah terhenti," kata seorang anggota daripada pasukan rundingan Lebanon yang enggan mendedahkan namanya.
Satu lagi sumber rapat dengan rundingan itu berkata, perwakilan IMF tidak melihat komitmen yang serius daripada delegasi Lebanon untuk melakukan perubahan.
"Setiap pihak bersaing untuk kepentingan sendiri manakala negara pula hancur," kata mereka.
Kebuntuan dalam rundingan merupakan sesuatu yang biasa di Lebanon yang mana ahli-ahli politik telah didakwa melakukan kronisme, konflik kepentingan dan rasuah sejak berdekad-dekad lalu.
Ketika Lebanon meminta bantuan daripada IMF, perdebatan semakin hangat berhubung jumlah kerugian kewangan negara, bank pusat dan bank komersial.
Kerajaan pula menganggarkan kerugian kira-kira 241 trilion pound Lebanon atau bersamaan dengan kira-kira AS$69 bilion (RM294.42 bilion) dengan kadar pertukaran ialah 3,500 pound Lebanon (RM9.84) bagi setiap satu dolar AS (RM4.27).
Sebuah jawatankuasa parlimen pula menyatakan angka yang lebih rendah berdasarkan kadar pertukaran yang lama iaitu 1,507 pound Lebanon (RM4.24) bagi setiap satu dolar AS.
Namun, IMF menganggap angka daripada kerajaan adalah lebih dipercayai.
Percanggahan angka itu menunjukkan betapa besarnya pengaruh sebuah kumpulan yang melobi mahu melihat Lebanon menjadi hancur, kata seorang perunding Lebanon.
Sejak Oktober tahun lalu, krisis itu telah mencetuskan protes besar-besaran yang menuntut satu kelas politik disingkirkan dan tidak cekap serta mengamalkan rasuah.
Krisis itu telah meningkatkan kadar kemiskinan kepada hampir 50 peratus dan kadar pengangguran sebanyak 35 peratus.
Berikutan harga barang-barang naik, kebanyakan orang tidak lagi mampu untuk membeli dan menyimpannya di dalam peti sejuk.
Sebahagian penduduk pula mula melakukan sistem penukaran barangan atau peralatan di dalam rumah untuk ditukarkan dengan susu serta lampin bayi.
Dalam pada itu, empat penduduk Lebanon membunuh diri pada minggu lalu dipercayai kerana mengalami masalah ekonomi.
Pada Mac lalu, kerajaan berjanji untuk melakukan pembaharuan yang telah lama dituntut oleh penyumbang kewangan antarabangsa antaranya melakukan pengurangan bajet, pembaharuan sektor elektrik dan meningkatkan cukai.
Namun, hanya sedikit yang sudah dilakukan.
Pada Rabu lalu, Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian turut menyatakan kebimbangannya tentang isu hutang tersebut.
Bagaimanapun, seorang penganalisis, Nasser Yassin berkata, pihak pemerintah pula tidak mempunyai kemahuan politik.
"Bagi memastikan tidak kehilangan apa-apa (jawatan), mereka lebih sanggup melihat negara hampir runtuh berbanding memulakan pembaharuan secara serius," katanya.
Pembaharuan yang mahu dilakukan itu akan menyebabkan mereka kehilangan kedudukan penting untuk melaksanakan kuasa dan kawalan ke atas negara, ekonomi dan masyarakat, tambahnya.
Antara tuntutan IMF ialah Lebanon mengaudit bank pusat dan mengeluarkan kawalan modal bagi menggantikan had pengeluaran serta pemindahan wang tunai yang dilaksanakan sejak musim luruh.
Ia juga meminta negara itu mengapungkan nilai mata wangnya bagi membolehkan ia ditentukan dengan kadar tukaran wang semasa.
Merumitkan lagi keadaan adalah apabila rundingan IMF dibuat ketika meningkatnya tekanan antara AS dengan Hezbollah iaitu sebuah pertubuhan Syiah yang disokong Iran dan pemain utama politik di Lebanon.
"Hezbollah ialah sebuah pertubuhan pengganas dan kami memberi sokongan kepada Lebanon selagi mereka melaksanakan pembaharuan dengan betul dan tidak menjadi negara proksi untuk Iran," kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo minggu ini.
Satu sumber Barat memberitahu: "Saya tidak melihat sebarang alternatif bantuan daripada IMF."
"Negara ini dan pound Lebanon sedang hancur tetapi para pegawainya menafikannya," ujarnya.
Kerajaan Lebanon berkata, ia memerlukan anggaran dana sebanyak AS$20 bilion (RM85.33 bilion) termasuk pakej bantuan AS$11 bilion (RM46.93 bilion) yang dijanjikan oleh negara-negara penyumbang pada persidangan Paris pada tahun 2008.
Namun, tanpa penglibatan IMF untuk menyelamatkan Lebanon, para penyumbang bantuan tidak akan menyalurkan wang ke negara tersebut. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca