DI SEBALIK pengiktirafan dan pujian dunia susulan kejayaan Malaysia meratakan lengkungan jangkitan kes (koronavirus) Covid-19, muncul pula cerita tidak enak yang meniupkan api kemarahan rakyat baru-baru ini.
Angin kemarahan tersebut tidak lain tidak bukan berpunca daripada dokumentari terbitan media antarabangsa, Al Jazeera bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown'.
Video berdurasi 25 minit 50 saat itu mendakwa pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini ditindas kerajaan Malaysia ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.
Wartawan Al Jazeera di dalam video tersebut dengan ghairah mengisahkan seolah-olah PATI di negara ini tidak diberi diberi layanan sewajarnya meskipun telah menyumbang kepada pembangunan Malaysia dengan bekerja dalam sektor pembinaan.
Video yang mencalar imej negara itu turut dipandang serius pihak berkuasa dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, Jabatan Imigresen juga bertindak mengesan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai terlibat dalam dokumentari tersebut bagi membantu siasatan.
Video yang mendapat lebih 1.2 juta tontonan sejak di muat naik pada 3 Julai lalu itu menimbulkan persoalan sejauh mana kebebasan media dalam menghasilkan sesebuah laporan.
Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kebebasan media, kerajaannya perlu menghormati hak media membuat laporan.
"Yang perlu dipastikan sama ada dakwaan itu benar atau palsu dan sama ada stesen itu memberi hak kepada kerajaan menjawab. Right of reply,” kata mantan Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times itu kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, isunya lebih berupa isu perikemanusiaan atau kurang sensitiviti dan bukan rasisme.
"Mungkin Al Jazeera dan pendatang asing yang memberi pendapat itu terikut-ikut dengan apa yang berlaku di luar Malaysia terutama di Amerika Syarikat.
"Di Amerika Syarikat, isu rasisme dan penganiayaan polis kulit putih terhadap seorang warga Amerika berkulit hitam hingga menyebabkan kematian.
"Di Malaysia kita nak kawal penyakit. Kena ingat, tanpa Covid-19 pun pendatang asing membawa masuk pelbagai penyakit berjangkit ke Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Komunikasi, Media & Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berpendapat, penerbitan sesuatu berita, video atau apa sahaja maklumat yang disampaikan kepada umum haruslah disertakan dengan akauntabiliti.
"Berkaitan video Al Jazeera itu, saya anggap tidak wajar mereka melaporkan berita yang tidak sahih, seharusnya mereka lebih profesional dan mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang sahih,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Syed Agil, kebebasan media harus berasaskan penyaluran maklumat secara bertanggungjawab, media harus bertanggungjawab terhadap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat.
"Media seharusnya mengamalkan pengawalseliaan kendiri (self-regulation) bagi memastikan peranan media sebagai penyalur maklumat dapat dipertimbangkan dari segi keseimbangan berita dan maklumat, penulisan kewartawanan beretika dan bijak mengimbangi impak maklumat terhadap masyarakat,” katanya sambil menambah propaganda yang tidak sahih akan menyebabkan kewibawaan media diragui.
Rekod cemerlang
Dalam pada itu, pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran menegaskan, setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk menangani setiap isu yang berlaku dalam negara masing-masing.
"Malaysia adalah antara negara yang mempunyai rekod cemerlang dalam menangani krisis Covid-19 dan boleh dijadikan contoh kepada negara lain.
"Kita menggunakan segala kapasiti sedia ada seperti maklumat, data peribadi dan sebagainya bagi memastikan setiap orang di Malaysia dapat dilindungi daripada jangkitan Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menambah, pendatang asing tanpa dokumen sah ini mendatangkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
"Mereka masuk ke negara kita secara haram dan lihatlah undang-undang di mana-mana negara sekalipun, tindakan berat akan diambil terhadap PATI termasuk dihantar pulang dan denda.
"Malaysia bersikap baik terhadap PATI dengan memberi makan dan tempat tinggal, namun disebabkan kedegilan PATI kerajaan perlu menggunakan peruntukan yang ada dalam undang-undang dan itulah yang dilaksanakan," katanya.
Ditanya tentang penerbitan video Al Jazeera yang menuduh Malaysia berlaku kejam terhadap PATI, Mohammad Shatar berkata, Al Jazeera melaporkan berita yang ternyata berat sebelah.
Beliau menambah, Al Jazeera sepertinya mahu mengetengahkan konsep 'one size fits all' atau mempunyai niat tidak baik terhadap negara.
"Kita berharap dunia dan media penyiaran itu menghormati cara Malaysia menangani isu Covid-19 kerana ia telah terbukti berkesan," katanya.
Dalam pada itu, setakat semalam sebuah portal berita melaporkan wakil kerajaan Bangladesh dan Nepal berpuas hati dengan cara Malaysia mengendalikan PATI.
Konsul Kehormat Bangladesh di Pulau Pinang, Datuk Shaik Ismail dan Konsul Kehormat Nepal di Pulau Pinang, Datuk Huan Cheng Guan masing-masing menafikan Malaysia mendiskriminasi PATI yang ditangkap di negara ini.
Klik di sini untuk terus membaca