ALOR SETAR - Kerajaan perlu menilai semula skim penggajian awam, pencen serta kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk penerima e-kasih dan orang kurang upaya (OKU) setelah kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dinaikkan kepada RM2,208.
Penganalisa Dasar, Politik dan Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, ini kerana langkah pembaharuan itu merangkumi aspek pengurusan dan perkhidmatan bagi menangani ancaman kemiskinan rakyat secara komprehensif.
Menurutnya, ia adalah langkah wajar dan bersesuaian dengan kedudukan semasa kos sara hidup negara.
"Aspek pembaharuan kadar PGK ini perlu diterjemahkan dalam aplikasi dasar kerajaan, termasuk kadar pencen kepada pesara kerajaan. Kadar pencen diselaraskan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dengan mengambil kira aspek PGK, dan penerima pencen di peringkat negeri dan Persekutuan wajar menerima pencen minima RM2,208 seperti mana PGK 2020,” katanya kepada Sinar Harian.
Md Shukri berkata, gaji kakitangan awam juga perlu diselaraskan semula dengan mengambil kira kadar PGK baharu, supaya taraf hidup dan kelestarian kehidupan penjawat awam disesuaikan dengan kos hidup semasa.
"Bajet 2021 harus mengambil kira kesemua aspek ini. Malah bantuan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga perlu diselaraskan dengan kadar kos semasa. Ini termasuk pusat zakat seluruh negara berkaitan kadar agihan zakat kepada asnaf terlibat,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menyarankan agar kerajaan menetapkan kadar gaji minima penjawat awam dan kadar pencen semasa tidak kurang daripada nilai PGK semasa.
"Dalam kes ini, RM2,208 wajar diaplikasikan dalam perubahan gaji dan pencen kepada sektor awam di negeri dan Persekutuan.
Bilangan isi rumah rakyat miskin, 405,441 akan dapat dikurangkan pada 2021 dengan asas campur tangan kerajaan di sektor penggajian awam dan pencen melalui perbelanjaan bawah kategori pemberian dan kenaan bayaran tetap dalam bajet kerajaan,” katanya.
Md Shukri berkata, kerajaan Pusat menjangkakan perlu berbelanja sebanyak RM117,957 juta (48.9 peratus) pada tahun 2020 daripada keseluruhan perbelanjaan.
"Tetapi kini, bagi menjayakan agenda memerangi kemiskinan, kaedah penetapan kadar gaji awam dan pencen perlu ditetapkan pada kadar baharu minima RM2,208. Walaupun kadar PGK itu bersifat isi rumah, kerajaan perlu gunakan kaedah perseorangan kerana gaji dan pemberian penjawat awam bersifat khidmat individu,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu ketetapan baharu merangkumi aspek perbendaharaan, agensi pelaksana seperti JKM, AIM, Tekun, Mara dan pusat zakat agar agenda ini tercapai.
"Perlu diwujudkan satu Suruhanjaya Basmi Kemiskinan Malaysia (BASMI) supaya pemantauan agenda basmi kemiskinan dapat diselaraskan,” katanya.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan PGK nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi isi rumah pada 2019.
Metodologi pengiraan PGK kali terakhir dikemas kini pada 2005 dan PGK pada 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi isi rumah.
Klik di sini untuk terus membaca