TAHUN lalu, bermula awal bulan Ogos, Malaysia sudah mula berhadapan masalah jerebu bermula di pantai barat Semenanjung dan Sarawak susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia.
Pada masa itu, beberapa kawasan di Sarawak yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ‘amat tidak sihat’ ialah di Sri Aman dengan IPU 242 diikuti Kuching (224) dan Samarahan (201) manakala di Semenanjung, bacaan IPU ‘tidak sihat’ direkodkan di Johan Setia, Cheras, Nilai, Batu Muda dan Putrajaya antara IPU 103 hingga 150.
Terbaharu, awal Julai lalu, lapor agensi berita AFP, Ketua Mitigasi Bencana Kalimantan Tengah, Darliansyah mengatakan bahawa pegawainya telah mengesan lebih 700 titik panas di sekitar wilayah itu. Titik panas yang dikesan menggunakan satelit itu meramalkan berkemungkinan berlaku kebakaran hutan lebih tinggi.
Meninjau kes tahun lalu, kabut asap sangat teruk telah berlaku sehingga sekolah-sekolah di seluruh Indonesia terpaksa ditutup.
Ia turut mempengaruhi negara-negara Asia Tenggara lain seperti Malaysia kerana Indeks Kualiti Udara berada dalam angka ratusan yang dianggap tidak sihat dan tidak selamat untuk kumpulan tertentu.
Sebagai persediaan kepada situasi itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihak mereka kini sedang memantau rapi situasi jerebu tempatan dan jerebu yang bakal merentasi sempadan.
Pemantauan titik panas oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 3 Julai 2020 lalu juga menunjukkan tiga titik panas telah dikesan di Kalimantan dan 12 titik panas di Sumatera.
Keadaan itu berkemungkinan bakal berulang lagi pada tahun ini, pastinya persediaan paling penting perlu diutamakan adalah dari aspek kesihatan.
Memperincikan lebih lanjut mengenai isu itu, Pakar Perunding Perubatan dan Paru-paru, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkata, setiap tahun kita akan menghadapi masalah jerebu seperti yang telah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.
Sebagai makluman tambahan, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan pada tahun lalu akibat konjuntivitis, asma dan ruam kulit meningkat kepada 40 peratus susulan jerebu yang berpanjangan.
Mengapa jerebu dikatakan bahaya? Menjawab persoalan itu, Dr Nurul Yaqeen mengutarakan, dalam konteks perubatan, jerebu terhasil disebabkan oleh wujudnya partikel-partikel kecil yang terperangkap di atmosfera.
"Pada kadar yang tinggi, partikel-partikel kecil tadi akan bertebaran dan menyerap sinar matahari, seterusnya menyebabkan langit kelihatan ‘kelam’ dan pemandangan ruang langit yang kabur.
"Banyak faktor seperti cuaca kering yang berpanjangan, atmosfera yang stabil dan pencemaran dari bandar dan luar bandar adalah punca utama berlakunya jerebu,” kata beliau.
Risiko
Menjelaskan lebih lanjut, partikel-partikel kecil berkenaan disebut PM10 atau partikel yang bersaiz 10 micron dan IPU dilabel sebagai selamat 0-50, sederhana 51-100, tidak sihat 101-200, sangat tidak sihat 201-300 dan berbahaya untuk lebih 300. Darurat boleh diisytiharkan jika bacaan IPU melebihi 500.
Jelas Dr Nurul Yaqeen, bernafas menggunakan udara yang tercemar dengan PM10 yang berlebihan akan meninggikan risiko seseorang untuk mendapat jangkitan virus dan bakteria serta penyakit paru-paru dan jantung.
Sebaliknya, bagi pesakit-pesakit kronik seperti asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik, pengalaman terdedah kepada PM10 dalam tempoh yang lama boleh meninggikan risiko serangan asma dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
Oleh sebab masalah itu adalah ibarat fenomena tahunan, sampai bila kita ingin lemas dalam udara ‘tidak sihat’ itu?
Kita mengharapkan Perjanjian Menangani Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) yang ditandatangani oleh 10 negara ASEAN akan dipatuhi.
Jadi, marilah kita berharap bahawa Indonesia dapat mengawal kebakaran itu sebelum ia tidak terkawal dan boleh menjejaskan kesihatan di negara-negara sempadan.
*Siti Farah Eliani Solleh ialah Wartawan Rencana (Lifestyle) SinarPlus
Klik di sini untuk terus membaca