KEMELUT kewangan dijangka sekali lagi menghantui beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sebaik sahaja saingan liga bersambung nanti. Ia ekoran saingan liga dijangka menelan perbelanjaan tinggi membabitkan kos prosedur operasi standard... Klik di sini untuk terus membaca

KEMELUT kewangan dijangka sekali lagi menghantui beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sebaik sahaja saingan liga bersambung nanti.

Ia ekoran saingan liga dijangka menelan perbelanjaan tinggi membabitkan kos prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi untuk setiap perlawanan, tiada hasil kutipan tiket kerana perlu bermain dalam stadium kosong dan masalah penaja yang telah menarik diri daripada menaja beberapa pasukan ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa mengakui kos perbelanjaan kemungkinan akan meningkat, namun tetap positif mencari jalan bagi mengatasi masalah itu.

"Kita terpaksa terima apa jua SOP yang kita kena buat. Kalau tak buat tak boleh main juga. Kalau kata perlu gunakan dua bas untuk ke venue, jadi kita kena ikut.

"Kita akan cuba sedaya upaya mencari penaja yang boleh bantu untuk baki perlawanan musim ini. Jika tiada penaja kita akan usahakan cara lain sebab kita nak pemain rasa selesa supaya misi kita nak layak ke saingan Liga Super musim depan tercapai.

"Dalam masa sama, KLFA turut mengharapkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dapat membantu kerana kita tahu beliau pun peminat bola sepak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, beberapa penaja dilaporkan telah menarik diri daripada menaja KLFA ketika pandemik Covid-19 melanda negara sekali gus menyaksikan badan induk bola sepak negeri itu menghadapi masalah kewangan serius.

Masalah sama turut dihadapi beberapa pasukan yang terpaksa mencari dana kewangan alternatif bagi menguruskan pasukan selepas penaja menarik diri.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman turut melihat implikasi sama yang akan dihadapi Kelantan apabila liga bersambung semula.

Menurutnya, Kelantan sememangnya amat bergantung kepada hasil kutipan tiket dan saingan liga yang bakal bersambung semula kemungkinan terpaksa dilangsungkan dalam stadium kosong.

"Sudah tentu ia akan memberikan masalah besar kepada pasukan apabila saingan liga bermula nanti. Tetapi, kita perlu mencari jalan untuk mengatasinya.

"Pemangku presiden yang juga Naib Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussin sedang merencana beberapa perancangan dan saya yakin akan ada penaja yang masuk nanti untuk membantu pasukan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca