KURANGNYA daya tahan terutama aspek mentaliti dalam kalangan pemain-pemain tempatan menjadi antara halangan utama untuk bakat muda negara menyerlah pada tahap lebih tinggi apabila beraksi di luar negara.
Namun begitu menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, penyakit lama yang sering membelenggu bakat tempatan boleh diatasi sekiranya mereka dapat membina kekuatan mental sejak awal dengan latihan berasaskan sukan berprestasi tinggi.
"Saya bagi contoh untuk kes Luqman Hakim Shamsudin, sebagai pemain remaja yang berusia 18 tahun, dia perlu membina daya tahan mental tidak hanya untuk sukan bola sepak tetapi juga rohaninya.
"Kekuatan ini akan membantu Luqman membangunkan sepenuhnya potensi diri apabila berdepan tekanan supaya sentiasa tenang dan mampu bangkit memperbaiki kelemahan dan halangan.
"Secara tidak langsung akan membentuk karakternya untuk sentiasa lebih bersedia mengharungi situasi luar jangka dalam mendepani cabaran kehidupan di Kortrijk," katanya kepada Sinar Harian.
Pada masa sama menurut Mohd Sadek, pemain dari Kelantan itu juga perlu mempunyai matlamat yang jelas dan realistik bagi memastikannya tidak tersasar dalam perjalanan membentuk kariernya.
"Matlamat yang jelas akan menjadi pendorong utama untuk Luqman berlatih lebih gigih untuk sukan kegemarannya. Matlamat ini juga perlu bersifat jangka pendek dan panjang dengan sasaran yang mencabar dan munasabah dicapai Luqman.
"Pemain bola sepak yang berjaya adalah mereka yang berjaya mencapai apa yang disasarkan, dapat suntik keyakinan di minda mereka ketika di padang atau cabaran hidup sebagai ahli sukan profesional,” katanya.
Tambah Mohd Sadek, Luqman juga perlu meningkatkan fokus kerana keupayaan ini memberikan kelebihan kepadanya untuk lebih bersasar serta mampu menepis segala gangguan untuk lebih berjaya.
"Fokus yang jitu merupakan hasil daripada kekuatan mental yang menjadi pemangkin kepada Luqman memberikan persembahan terbaik dan konsisten,” katanya.
Pada masa sama tambah Mohd Sadek, Luqman perlu sentiasa meningkatkan disiplin apabila berada di dalam dan luar padang bagi membina lebih keyakinan diri.
"Etika kerja sukan cemerlang yakni usaha tangga kejayaan penting. Bakat dan keistimewaan sahaja tidak menjanjikan kejayaan dalam sukan sebaliknya perlu dititipkan disiplin kerja tinggi," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca