LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail melahirkan kebimbangan ada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang terpaksa menarik diri apabila saingan liga bersambung semula nanti.
Menurutnya, situasi terutamanya untuk menghadapi kos prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi untuk setiap perlawanan, tiada hasil kutipan tiket dan ada penaja yang telah menarik diri daripada menaja beberapa pasukan akan menjadi masalah besar buat pasukan yang mempunyai bajet kecil.
"Sebab itu saya pernah cakap dulu, batalkan sahaja liga musim ini dan mulakan semula tahun depan. Mungkin pada tahun depan dah tak ada SOP dan kita boleh bermain secara normal.
"Tetapi, mereka mahu bermain juga sebab mungkin sudah terikat dengan beberapa perkara terutama dari segi hak penyiaran dan sebagainya. Jadi, jika mereka main juga, maka mereka perlu mengikut semua SOP dan menanggung semua kos tersebut.
"Dalam hal ini, semua pasukan yang terkesan perlu mencari dana mulai sekarang jika mahu pasukan berjalan seperti biasa apabila saingan liga bermula nanti.
"Jika tidak, saya khuatir akan ada pasukan terpaksa menarik diri daripada liga nanti. Kita pun tahu banyak pasukan terbeban dengan masalah gaji yang tak bayar dah beberapa bulan. Takkanlah ada pemain yang nak main lagi bila gaji tak bayar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Semalam, Sinar Harian melaporkan beberapa pasukan mengakui bakal berdepan dengan masalah kewangan sebaik sahaja saingan liga bersambung semula musim depan ekoran beberapa masalah terutamanya membabitkan penaja yang telah menarik diri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mengulas lanjut, Jamal Nasir turut meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) melihat perkara tersebut dan cuba memberikan pandangan atau nasihat kepada pasukan terlibat.
"Mungkin sekarang mereka tak kata nak tarik diri lagi.Tapi bulan depan dan bulan seterusnya siapa yang tahu. Perkara ini juga sudah tentu akan merosakkan imej liga di negara kita,” katanya.
Dalam masa sama, bekas pemain Pahang itu turut memberikan cadangan kepada pasukan untuk cuba mengurangkan kos yang dihadapi apabila mengharungi perlawanan nanti.
"Untuk perlawanan di tempat lawan contohnya, mungkin setiap pasukan hanya membawa 20 orang sahaja iaitu 18 pemain, seorang jurulatih dan seorang pengurus atau kitman. Jadi pasukan tidak perlu berbelanja banyak untuk pengangkutan. Jika tidak mereka mungkin kena sewa dua bas untuk bawa pemain kerana perlu ikut SOP.
"Dari segi kos penginapan dan makanan juga boleh dijimatkan jika kita bawa jumlah pemain yang sedikit. Mungkin sebelum ini kos untuk perlawanan di tempat lawan RM20,000, mereka mungkin dah boleh jimat separuh,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca