BARU-baru ini kita digemparkan dengan kejadian tragis yang menimpa seorang bayi selepas dia dicampak dari tingkap tingkat 13 Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam, Pulau Pinang sejurus dilahirkan di dalam tandas.
Perbuatan ‘gila’ itu dilakukan ibunya sendiri yang sebelum ini berjaya merahsiakan kandungan daripada pengetahuan keluarga selepas menjalinkan hubungan intim bersama teman lelaki yang seusia dengannya.
Pelajar kolej berusia 18 tahun itu mungkin tidak menyangka sakit perut yang dialami dan rasa ingin membuang air besar itu adalah petanda untuk dia melahirkan bayi.
Terkejut selepas bayinya terjatuh ke dalam mangkuk tandas lalu menangis membuatkan remaja itu panik dan bertindak nekad membungkus bayi yang tidak berdosa itu dengan menggunakan baju yang dipakainya sebelum dicampak melalui tingkap bilik belakang rumahnya di tingkat 13.
Entah apalah yang bermain dalam fikiran ibu muda ketika itu hingga tergamak melakukan perbuatan sedemikian.
Mayat bayi malang itu ditemui oleh penduduk dalam keadaan menyayat hati sebelum mereka melaporkan kepada pihak polis.
Kisah tragis itu bukan kali pertama berlaku di Pulau Pinang. Pada 13 Mei lalu akhbar ini melaporkan kejadian seakan-akan sama yang terjadi di Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, remaja perempuan berusia 18 tahun yang melahirkan bayi di dalam tandas rumahnya tanpa pengetahuan ahli keluarga juga bertindak mencampak bayi yang baru dilahirkan dari tingkat empat melalui balkoni rumahnya.
Bayi cukup sifat itu ditemui penduduk di perumahan itu selepas dia terdengar bunyi dentuman kuat seperti barang jatuh atas atap rumahnya. Penduduk yang curiga dengan bunyi dentuman itu membuat pemeriksaan di sekitar kawasan rumah sebelum menemui beg yang mengandungi bayi berkenaan di bahagian belakang rumah flat terbabit.
Dua kejadian yang berlaku itu mengundang pelbagai reaksi serta kecaman masyarakat dan ramai menganggap perbuatan mereka sebagai tidak berperikemanusiaan kerana tergamak mencampak anak sendiri yang baru dilahirkan.
Bagaimanapun, persamaan yang dapat dilihat daripada dua kes itu ialah kedua-dua remaja perempuan terbabit berjaya menyembunyikan kandungan mereka tanpa dapat disedari oleh ahli keluarga mereka.
Rahsia mereka berbadan dua tidak dapat dihidu sehinggalah hari kejadian yang membongkar semua perbuatan mereka selama ini.
Timbul juga persoalan adakah ibu bapa mereka langsung tidak menyedari perubahan yang berlaku pada anak perempuan mereka sepanjang tempoh sembilan bulan sebelum episod melahirkan anak di dalam tandas.
Apa yang berlaku itu bukan lagi perlu dijadikan pengajaran buat kita semua malah perlu dipandang serius oleh semua ibu bapa agar kejadian seperti itu tidak akan terjadi lagi.
Jangan hanya kerana terlalu sibuk mencari rezeki siang dan malam hingga terlupa dengan tanggungjawab dan masa bersama anak-anak tidak kira sama ada mereka masih bersekolah atau sedang kian meningkat dewasa.
Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab pernahkah kita pantau aktiviti yang dilakukan mereka dan pernah atau tidak kita memeriksa telefon pintar dan buka semua aplikasi yang digunakan selama ini?
Pengawasan daripada ibu bapa sangat penting agar anak-anak kita terhindar daripada terjebak gejala negatif yang boleh mempengaruhi pemikiran mereka untuk terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.
Kalau bukan kita yang ambil tahu semua perihal mereka siapa lagi yang selayaknya bertanggungjawab terhadap anak-anak kita terutamanya dalam menjalani kehidupan yang semakin mencabar masa kini?
Walaupun mereka dilihat mampu berdikari dan boleh menguruskan kehidupan sendiri namun itu bukan alasan untuk kita membiarkan dan tidak mempedulikan mereka.
Moga anak-anak kita membesar dengan baik, sentiasa dilindungi daripada sebarang marabahaya dan dijauhkan dengan perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka.
*Mohd Iskandar Othman ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara
Klik di sini untuk terus membaca