PROSEDUR operasi standard (SOP) Liga Sepak Takraw (STL) 2020 akan menjadi sebahagian peraturan pertandingan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada musim ini dalam menyahut usaha berterusan kerajaan 'melibas' rantaian pandemik Covid-19.
Itu nada tegas Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail yang menyifatkan peraturan baharu yang ketat diperkenalkan persatuan induk sepak takraw negara itu bermatlamat menjaga keselamatan dan kesihatan pengurus, jurulatih dan pemain serta pegawai sepanjang pertandingan.
"PSM tidak akan berkompromi bagi memastikan tidak berlaku kluster STL Covid-19, pemain, jurulatih dan pengurus pasukan boleh berdepan dengan tindakan disiplin sekiranya terdapat dalam kalangan mereka yang melanggar peraturan ditetapkan penganjur pertandingan khususnya berhubung dengan SOP STL kali ini
"Contohnya sekiranya ada pemain yang memenangi anugerah pemain terbaik pada sesuatu minggu, namun pada masa sama dia melanggar SOP ditetapkan penganjur maka anugerah dimenanginya akan ditarik balik. Apapun tindakan disiplin ini akan kami perincikan lagi.
"Beberapa budaya perlawanan seperti upacara bersalaman sebelum permainan kita tidak benarkan, selain itu kelaziman lain seperti tekong sebelum melakukan servis akan menghulurkan tangan kanan dan kirinya kepada killer dan feeder juga dilarang sama sekali, begitu juga berpeluk ketika meraikan kutipan mata.
"Bagaimanapun tidaklah sampai menjadi foul, kerana apabila berlaku beberapa situasi seperti dinyatakan tadi pengadil akan menegur mereka yang terbabit,” katanya yang pada masa sama berharap pemain, jurulatih dan pengurus pasukan akan memberikan keutamaan dalam pematuhan SOP semasa sesi latihan.
Mengenai tarikh penganjuran, Ahmad berkata, PSM mengekalkan keputusan menganjurkan kejohanan pada 5 September depan walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan lampu hijau kepada penganjuran kejohanan tanpa sentuhan berlangsung pada 15 Ogos.
"PSM tidak mahu tergesa-gesa menganjurkan STL 2020 walaupun kerajaan sudah memberikan kelonggaran kepada penganjuran aktiviti liga, sebaliknya persatuan akan menunggu berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos depan.
"Pada masa sama ini akan memberikan lebih ruang dan masa kepada setiap pasukan untuk melakukan persiapan lebih rapi dalam memantapkan cabaran masing-masing apatah lagi saingan kali ini tanpa menggunakan pemain import untuk STL 2020 dan pasukan jemputan (import) bagi STL Champions Cup 2020,” katanya yang memaklumkan saingan kali ini dijangka berlangsung dalam 12 minggu.
Perak Bison muncul juara STL 2019 manakala Johor Tigris melabuh tirai liga takraw negara bergelar juara STL Champions Cup 2019.
Klik di sini untuk terus membaca