Kelmarin, Merak Jalanan berpeluang bertemu dengan beberapa orang sahabat yang sudah bertahun-tahun tidak berjumpa. Kali terakhir kami berjumpa kira-kira 10 tahun yang lalu.
Pertemuan ini tidak dirancang, salah seorang datang ke Shah Alam dan mengajak Merak Jalanan minum petang. Selepas itu, seorang demi seorang datang dan akhirnya penuh satu meja. Kami berlima berkongsi kisah hidup dahulu dan yang terkini.
Paling banyak dibualkan adalah isu ekonomi. Dua orang dari kami baru sahaja diberhentikan kerja dan seorang lagi mempunyai masalah dalam perniagaan. Tetapi Alhamdulillah mereka masih boleh meneruskan kelangsungan hidup kerana mempunyai ‘lubang rezeki’ yang lain.
Salah seorang yang pernah bekerja dalam industri perhotelan berkata, dia diberhentikan kerja kerana industri itu terjejas teruk akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menariknya sahabat Merak Jalanan ini sentiasa bersikap positif dan tidak menyalahkan sesiapapun kerana hilang pendapatan.
Dia tahu PKP dikuatkuasakan bagi menghalang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Katanya, walaupun dia sekarang berada di dalam kategori miskin selepas Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan garis kemiskinan yang baru iaitu RM2,208, dia tetap bersyukur kerana masih ada tempat tinggal dan anak-anak masih cukup makan dan pakaian.
"Jika tidak ada rezeki di situ, sudah pasti ada rezeki di tempat lain, apa yang paling penting jangan berputus asa,” katanya.
Seorang lagi sahabat Merak Jalanan yang mempunyai masalah dalam perniagaan berkata, premisnya di salah satu pusat membeli belah di Lembah Klang terpaksa ditutup kerana tiada pengunjung masuk membeli belah.
Katanya, walaupun premis fizikalnya ditutup, dia masih menjalankan perniagaan atas talian dengan menjual kasut dan pakaian.
Walaupun bergelut kerana terpaksa berlawan dengan penjual-penjual yang lain, dia tetap bersyukur kerana masih mendapat pendapatan walaupun tidak sebanyak seperti sebelum ini.
Bagi Merak Jalanan, kisah-kisah sahabat yang berhempas pulas ketika ini memberi kesedaran bertapa bertuahnya mereka yang masih bekerja. Jika kita rasa susah, ada ramai lagi di luar sana yang lebih susah.
Klik di sini untuk terus membaca