Nasib hampir 500 graduan Undang-Undang, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) masih dalam kesamaran apabila Program Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah universiti tersebut belum mendapat... Klik di sini untuk terus membaca

Nasib hampir 500 graduan Undang-Undang, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) masih dalam kesamaran apabila Program Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah universiti tersebut belum mendapat pengiktirafan penuh daripada Lembaga Kelayakan Profession Undang-Undang (LKPU).

Jurucakap Alumni FSU USIM yang enggan mendedahkan namanya berkata, sehingga kini graduan lulusan FSU USIM tidak dapat mempraktikkannya sebagai satu bidang kerjaya setelah menamatkan pengajian mereka sejak 2010.

Menurutnya, disebabkan perkara itu, ada sesetengah daripada mereka terpaksa mencari peluang kerjaya dalam bidang yang lain sekali gus dilihat sebagai satu pembaziran sumber manusia.

"Justeru, kami berharap LKPU dapat mempertimbangkan kembali tuntutan sebahagian graduan yang tidak dibenarkan menduduki ujian penilaian akhir Modul Khas Kemahiran dan Latihan Praktikal bagi kohort 2016 dan 2017.

"LKPU juga perlu menentukan tarikh ujian penilaian akhir Modul Khas Kemahiran dan Latihan Praktikal bagi kohort 2016 dan 2017,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mengulas lanjut, jurucakap alumni terbabit turut meminta LKPU untuk menyemak semula course outline bagi kohort 2018 dan ke atas dalam usaha memastikan mereka mematuhi ‘elemen praktikal’ sebagaimana ditetapkan LKPU.

Katanya, usaha itu bagi membolehkan mereka tidak perlu menduduki modul dan ujian penilaian akhir Modul Khas Kemahiran dan Latihan Praktikal seperti yang sedang dilalui oleh kohort 2016 dan 2017.

"Kami turut bimbang sekiranya perkara ini tidak diselesaikan dengan segera, ia secara tidak langsung akan memberikan implikasi sama kepada pelajar-pelajar yang bakal menamatkan pengajian mereka,” katanya.

Beliau berkata, bekas Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad pernah mengeluarkan kenyataan pada April 2018 yang memaklumkan bahawa satu penilaian akan dijalankan oleh sebuah komiti untuk memastikan FSU telah memenuhi semua keperluan yang ditetapkan oleh LKPU, namun sehingga kini difahamkan penilaian tersebut masih belum dijalankan.

Katanya, sebelum ini LKPU membuat dua lawatan pada 2013 dan 2017 malah pihak FSU USIM juga telah pun selesai kursus latihan modul khas selama empat bulan.

"Namun setiap kali lawatan dibuat, keputusan lawatan mengambil masa yang sangat lama untuk diumumkan sehingga setahun dan setahun setengah bagi kedua-dua lawatan penilaian.

Ini secara langsung menyebabkan ramai pelajar terpaksa menunggu terlalu lama sehingga ada yang telah bergraduasi.

Akibatnya, ketidakadilan berlaku bukan sahaja kepada fakulti, malah ke atas pemegang taruh, iaitu ibu bapa pelajar dan pelajar-pelajar itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam kenyataannya semalam mengakui amat prihatin dan memandang serius terhadap situasi yang dihadapi pelajar dan alumni berhubung isu tersebut.

Menurutnya, USIM kini berada dalam proses pengiktirafan sepertimana dijadualkan bersama dengan LKPU dan sedang memperincikan persiapan bagi pelaksanaan ujian penilaian akhir Modul Khas Kemahiran dan Latihan Praktikal bagi kohort 2016 dan 2017 dan lawatan penilaian oleh Jawatankuasa Teknikal (JTC) LKPU bagi kohort 2018 dan selanjutnya.

"USIM akan memastikan persediaan ujian penilaian akhir dan lawatan Jawatankuasa Teknikal (JTC) LKPU akan dilaksanakan memenuhi keperluan LKPU,” katanya.

Justeru, pihak universiti berharap agar semua pelajar dan alumni dapat memberi kerjasama penuh supaya proses dilaksanakan semua pihak dapat berjalan dengan baik.

Klik di sini untuk terus membaca