SHAH ALAM - Klinik Nasihat Guaman Percuma yang membantu individu bermasalah berkaitan undang-undang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai pada hari pertama ia dilancarkan semalam. Peguam yang juga Penasihat Kehormat kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Klinik Nasihat Guaman Percuma yang membantu individu bermasalah berkaitan undang-undang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai pada hari pertama ia dilancarkan semalam.

Peguam yang juga Penasihat Kehormat kepada Yayasan Policy And Economic Affairs Centre of Malaysia Foundation (Peace), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, program julung kali dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf itu diadakan pada setiap Khamis Di Dewan Karangkraf bermula semalam dari jam 10 pagi sehingga jam 3 petang.

Beliau berkata, bagi program semalam, seramai 15 pelanggan hadir secara bersemuka, sementara 15 orang lagi mendapatkan nasihat sama secara percuma melalui atas talian.

"Peace sebenarnya menerima banyak permintaan untuk hadir ke slot pertama hari ini (semalam) namun kita terpaksa hadkan jumlah pelanggan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Bagaimanapun, kita akan cuba pertimbangkan kelonggaran jumlah individu yang boleh hadir untuk slot kedua pada Khamis minggu depan supaya perkhidmatan lebih menyeluruh," katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Anwar (berdiri) bersama rakan peguam meneliti dokumen dibawa pelanggan sebagai sokongan kepada masalah yang dihadapi mereka. - Foto ROSLI TALIB

Selain itu katanya, khidmat guaman percuma itu dikendalikan oleh lapan peguam yang mempunyai kepakaran dalam lima bidang yang menjadi tumpuan iaitu Undang-undang Kekeluargaan, Undang-undang berkaitan hak-hak pekerja, kecuaian perubatan di hospital swasta dan hospital kerajaan, isu muflis serta berkaitan urusan jual beli hartanah.

"Antara kes yang kita terima juga banyak berkaitan isu tuntutan harta sepencarian, tuntutan nafkah serta fasakh, nafkah tertunggak, kes ingkar atau batalkan perkahwinan pada saat akhir termasuk kes membabitkan pekerja di sebuah hotel terkemuka di Lembah Klang yang dinafikan hak mereka dengan sebahagiannya tidak dibayar gaji langsung dan sebahagian lagi hanya menerima 50 peratus bayaran sahaja sewaktu tempoh PKP.

"Bagaimanapun, skop atau cabang perundangan nasihat guaman percuma itu dijangka akan diperluaskan lagi pada sesi akan datang dengan tambahan khidmat nasihat bagi kes berkaitan tuduhan jenayah, tuntutan pampasan kemalangan serta kes-kes sivil lain," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Menurutnya, pihaknya akan melihat kesesuaian dari masa ke masa bagi memastikan objektif program untuk menyediakan satu platform yang memastikan orang ramai mendapat akses kepada undang-undang dengan lebih mudah tercapai.

Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, sekiranya program itu terus menunjukkan perkembangan positif, pihaknya bercadang untuk menukar slot program itu kepada Sabtu atau Ahad supaya lebih ramai boleh tampil bersemuka.

"Bagi mereka yang mungkin ada kekangan masa atau mahu lebih privasi boleh dapatkan nasihat percuma kami secara atas talian dengan WhatsApp ke 0142647524," katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Nini, 29, berkata, penganjuran program khidmat nasihat guaman percuma itu memberi manfaat untuknya serta individu lain yang dinafikan hak oleh majikan untuk mengetahui berhubung hak pekerja serta tuntutan undang-undang yang boleh dilakukan

Seorang lagi yang hanya memperkenalkan diri sebagai Nana, 27, memberitahu, program itu dilihat dapat memberi 'jalan keluar' buat dirinya yang sebelum ini buntu untuk mendapatkan nasihat perundangan kerana tidak tahu saluran untuk dirujuk.

Klik di sini untuk terus membaca